KOMITMEN terhadap program realiti Gegar Vaganza Fantasia (GVF) memaksa penyanyi Akim Ahmad menolak beberapa tawaran persembahan bagi memastikan tumpuannya tidak terganggu sepanjang menyertai pertandingan tersebut.
Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad, 35, bagaimanapun bersyukur apabila kebanyakan undangan nyanyian yang diterima tidak bertindih dengan jadual konsert mingguan GVF yang berlangsung setiap Ahad.
Menurutnya, jadual persembahan di luar program realiti itu masih dapat diselaraskan, meskipun terdapat beberapa komitmen yang menyebabkan dia terpaksa mengorbankan masa latihan dan sesi uji bunyi.
“Ada (tawaran persembahan yang ditolak), cuma kebanyakannya apabila saya semak jadual, alhamdulillah tidak bertembung dengan hari Ahad.
“Kebanyakan persembahan berlangsung pada Rabu, Jumaat dan Sabtu. Jadi, tidak berlaku percanggahan jadual.
“Cuma ada satu atau dua hari saya tidak dapat menghadiri latihan dan sesi uji bunyi,” katanya kepada Kosmo! Online.
Dalam pada itu, vokalis kumpulan Akim & The Majistret tersebut mengakui perlu lebih bijak menguruskan tenaga dan menjaga tahap kecergasan sepanjang minggu bagi mengelakkan keletihan ketika beraksi di pentas GVF.
Jelasnya, pengalaman menyertai pertandingan berkenaan turut menyedarkannya tentang kepentingan mengawal penggunaan tenaga agar tidak menjejaskan persembahan pada malam konsert.
“Sebenarnya, saya perlu lebih teliti mengawal tenaga supaya tidak menggunakannya untuk perkara yang sia-sia.
“Jadi, bagus juga kerana pengalaman ini memberi kesedaran kepada saya supaya tidak terlalu mengerah tenaga sehingga keletihan ketika konsert,” ujarnya.
Sebelum ini, Akim diumumkan sebagai peserta kerusi panas GVF bersama tiga lagi bekas bintang Akademi Fantasia (AF), iaitu Felix, Ara Johari dan Farah Diana Anuar.
Penyertaan mereka melengkapkan senarai 13 peserta GVF yang turut dibarisi Mawi (AF3), Vince (AF1), Faizal (AF4), Shahir (AF8), Mila Jirin (AF5), Stacy (AF6), Zahid (AF2), Faizul Sany (AF2013) dan Firman Bansir (AF2014). – HIBGLAM

