BIARPUN pengiktirafan membawa gelaran Datuk menjadi satu penghormatan besar selepas lebih empat dekad menabur bakti dalam dunia seni, aktor berkaliber, Datuk Eman Manan tidak melihat anugerah tersebut sebagai tiket untuk mengubah pendirian, apatah lagi meletakkan syarat dalam pemilihan watak.
Sebaliknya, pelakon berusia 68 tahun itu menganggap gelaran berkenaan sebagai satu amanah dan tanggungjawab yang perlu digalas, selain pengiktirafan terhadap segala usaha serta sumbangannya dalam industri seni tanah air selama ini.
Eman atau nama sebenarnya Abdul Manan Embong berkata, dia menyambut baik penganugerahan tersebut, namun menegaskan tiada apa-apa yang akan berubah dalam perjalanan kerjaya seninya, termasuk soal pemilihan watak.
“Saya kali pertama membuat kenyataan ini kerana sebelum ini saya tidak menyahut rayuan wartawan untuk mengulas tentang gelaran tersebut. Ini merupakan satu pengiktirafan kerajaan negeri dan Kebawah Duli Tuanku Sultan kepada saya. Alhamdulillah.
“Pengiktirafan ini bukan kerana apa yang akan datang, tetapi atas usaha yang sudah dilakukan sebelum ini.
“Oleh kerana gelaran tersebut berdasarkan perkara yang sudah berlalu, maka biarlah saya kekal begitu sahaja (dari segi watak dan pendirian),” katanya kepada HibGlam ketika ditemui pada tayangan gala dan sidang media filem terbaharunya, Takluk 2: Op Daulat, di sini semalam.
Mengulas tanggungjawab selepas menerima gelaran tersebut, Eman tidak menafikan pengiktirafan berkenaan turut hadir bersama amanah lebih besar, khususnya dalam menyumbang kepada perkembangan industri perfileman tempatan.
Katanya, perkembangan industri filem yang semakin memberangsangkan ketika ini perlu disusuli dengan usaha melahirkan lebih ramai tenaga seni berpengetahuan dan mempunyai asas ilmu yang kukuh.
“Saya rasa itu adalah salah satu tugas saya. Sekarang saya melihat perkembangan filem semakin besar dan panggung wayang juga semakin banyak.
“Sudah banyak institusi dan kolej yang menawarkan pengajian berkaitan lakonan. Anak muda kini melihat lakonan sebagai satu ilmu yang perlu dipelajari, bukan seperti rumput di tepi jalan yang tumbuh sendiri apabila dipotong,” jelasnya.
Bagi memastikan mutu karya tempatan terus meningkat, Eman menegaskan kepentingan pendidikan dan penguasaan ilmu dalam kalangan generasi pelapis agar mereka lebih bersedia menghasilkan naskhah berkualiti.
“Apabila generasi yang berilmu dan dididik secara khusus ini lahir, mereka akan lebih yakin, memilih naskhah yang tepat dan menghasilkan kerja yang bagus.
“Tugas industri ini bukan hanya memberi hiburan semata-mata, tetapi memperkenalkan dan mempersembahkan budaya, bangsa serta negara kita kepada masyarakat,” katanya.
Terdahulu, Eman dianugerahkan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T.) bersempena Ulang Tahun Ke-64 Hari Keputeraan Sultan Terengganu pada 6 September lalu.
Beliau tersenarai sebagai penerima bagi mengiktiraf sumbangan dan jasanya dalam bidang seni serta industri lakonan tanah air.
Dalam perkembangan lain, Eman kembali menggalas watak Raja Iskandar, seorang pengganas dalam filem Takluk 2: Op Daulat arahan Zulkarnain Azhar.
Filem yang turut dibintangi Syafiq Kyle, Kamal Adli, Remy Ishak dan Fadlan Hazim itu bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 26 November ini. – KOSMO! ONLINE

