ENGGAN memilih barangan hantaran klise seperti tas tangan atau kasut, pelakon Shiqin Kamal dan suaminya, Mika Irfan Nojey, sepakat meletakkan set peralatan sukan memanah lengkap dengan busur dan anak panah sebagai hantaran istimewa pada majlis pernikahan mereka yang berlangsung di sini, hari ini.
Shiqin atau nama sebenarnya Nur Ashiqin Mohd. Kamal, 35, berkata, pemilihan set memanah itu bertepatan dengan minat mendalam mereka terhadap sukan berkenaan, apatah lagi suaminya merupakan atlet kebangsaan dalam sukan memanah berkuda.
“Dia merupakan jurulatih memanah dan berkuda selain atlet kebangsaan memanah berkuda. Saya sendiri meminati sukan memanah berkuda dan pernah mempelajarinya sebelum ini.
“Jadi, apabila kami merancang untuk berkahwin, saya rasa tidak perlulah memilih hantaran klise seperti beg tangan, baju atau kasut.
“Sebaliknya, saya mencadangkan supaya kami memiliki satu set peralatan memanah sendiri,” katanya kepada HibGlam.
Tambah pelakon filem Lagenda Budak Setan itu, set memanah berkenaan mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana bakal digunakan bersama-sama setiap kali mereka menyertai pertandingan selepas ini.
“Apabila menyertai pertandingan selepas ini, kami akan menggunakan set memanah sendiri.
“Secara tidak langsung, itu menjadi simbolik cinta kami. Ke mana sahaja kami pergi, kami akan membawa ‘cinta’ itu bersama-sama,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai perancangannya untuk terus aktif dalam sukan memanah selepas bergelar isteri, Shiqin berkata, Irfan sudah pun menyediakan jadual latihan khas buat dirinya.
“Kena aktiflah selepas ini kerana Irfan sendiri seorang jurulatih. Kalau dahulu, perjalanan dari rumah saya ke tempat latihan mengambil masa kira-kira 50 minit, jadi bolehlah beri alasan penat memandu atau tidak larat.
“Sekarang, apabila sudah tinggal berdekatan dengan pusat latihan memanah, memang tiada lagi alasan.
“Malah, dia sendiri sudah menyusun jadual latihan dan mewajibkan saya turun menjalani latihan memanah selepas ini,” ujarnya.
Terdahulu, Shiqin dan Irfan selamat disatukan sebagai suami isteri dengan sekali lafaz dalam majlis pernikahan yang hanya dihadiri ahli keluarga serta kenalan terdekat mereka, hari ini. – HIBGLAM

