Mama ada 24 jam, kalau berani kau buat – Sweet Qismina

“Saya tak pernah alami gangguan seksual.” Demikian respons pelakon Sweet Qismina, menjawab isu yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini iaitu keselamatan pelakon wanita di lokasi penggambaran susulan dakwaan gangguan seksual dibangkitkan pelakon Puteri Balqis.

Dakwa Balqis atau Aqish, dia terganggu apabila kerap ‘digesel’ seorang pelakon lelaki di set penggambaran. Kes tersebut masih dalam siasatan polis, dengan keterangan saksi turut diambil bagi membantu siasatan

Bercakap daripada pengalaman sendiri, Sweet atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi, 29, yang sudah 22 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, bersyukur tidak pernah mengalami sebarang sejak bergelar pelakon kanak-kanak sehingga diberikan kepercayaan menggalas watak utama.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sweet bagaimanapun, tidak meletakkan pengalaman peribadinya sebagai ukuran terhadap apa yang mungkin dilalui orang lain.

“Alhamdulillah, sepanjang saya dalam industri daripada kecil sampai besar, semuanya baik-baik sahaja dan terjaga. Perkara seperti itu saya tidak pernah lalui. Saya sangat bersyukur untuk bahagian itu.

“Mama (panggilan buat ibu) ada dengan saya 24 jam. Apa sahaja persoalan atau apa yang orang mahukan, mama ada di sebelah. Kalau berani, kau buat,” katanya menggambarkan betapa kehadiran ibunya membuatkan orang sekeliling lebih menjaga tingkah laku.

Apabila mula membawakan watak heroin dan bergandingan dengan pasangan pelakon, Sweet bahkan tetap memastikan mereka berkenalan dengan ibunya terlebih dahulu.

JIKA dahulu boleh berkongsi apa sahaja dalam media sosial, kini Sweet membataskan perkongsiannya hanya tentang hal bersangkut karier demi menjaga privasi diri dan keluarga.

Baginya, langkah itu membolehkan rakan sekerja memahami batas yang perlu dihormati, sementara segala urusan kerjanya juga melalui ibunya.

“Kalau hendak kata ada yang mengata atau mengajak pulang bersama, itu ada. Tetapi mungkin dengan saya, mereka tidak terlalu berani sebab mama ada,” ujarnya, memperincikan pengalaman yang pernah dilalui.

Dalam masa sama, Sweet mengakui tidak mengetahui pengalaman setiap pelakon wanita atau bekas pelakon kanak-kanak lain. Apa yang mampu dikongsikan hanyalah keadaan dirinya yang sentiasa ditemani ibu, kemudian bersama pelakon Adam Lee sebagai pasangan yang turut dikenali umum.

“Jujurnya, andai kata saya menghadapi situasi seperti itu, sudah tentu saya marah dan akan melakukan sesuatu untuk melawan. Sebab perkara itu salah dan berkaitan dengan maruah kita,” tegasnya.

Bagi Sweet, gangguan seksual merupakan isu besar yang tidak wajar dipandang ringan. Situasi sebegitu boleh berlaku dalam pelbagai pekerjaan dan terhadap sesiapa sahaja tanpa mengira usia, sekali gus memerlukan perhatian serius melangkaui dunia hiburan.

“Orang yang melaluinya ada hak untuk melawan. Kita juga mahu berasa selamat untuk bekerja pada masa depan,” katanya yang turut melihat saluran undang-undang sebagai jalan mendapatkan pembelaan.

TERJAGA daripada gangguan lelaki miang sepanjang berlakon sejak kanak-kanak, Sweet mengakui bertuah kerana persekitaran selamatnya hasil keberkatan perhatian dan doa ibu yang sentiasa ada di sisi sebagai pengurusnya.

Mahu berhenti

Di sebalik rasa selamat kerana sentiasa ditemani ibunya, perjalanan Sweet sebagai anak seni tetap mempunyai cabaran tersendiri.

Peralihan daripada pelakon kanak-kanak kepada pelakon dewasa pernah membuatkannya penat apabila kemampuan dirinya seolah-olah masih diragui.

“Pada awalnya memang penat sebab rasa macam orang tidak percaya dengan lakonan kita. Ada juga yang cakap mereka masih tidak boleh melupakan watak saya ketika kanak-kanak.

“Tetapi sebab saya suka berlakon, saya cuba memperbaiki diri dari semasa ke semasa supaya orang nampak,” kongsinya.

Ditanya sama ada pernah terlintas untuk meninggalkan dunia lakonan, Sweet mengaku pernah sampai ke titik itu. Namun, ada satu perkara yang membuatkannya terus bertahan.

“Rezeki yang Allah tidak pernah putuskan untuk keluarga,” jawabnya ringkas, tetapi cukup menggambarkan makna kerjaya tersebut dalam hidupnya.

Harga yang dibayar juga bukan kecil apabila masa bersama keluarga besar dan privasi sering menjadi pertaruhan.

“Semuanya terasa berbaloi,” katanya yang masih menemukan kekuatan melalui kehadiran seorang ibu.

Dalam rumah tangga pula, kesibukan karier lakonan dia dan Adam membataskan waktu mereka bersama.

“Kami sentiasa cari masa untuk berdua, sama ada saya ke set Adam atau dia pula datang ke set saya,” ujarnya mengenai usaha mencuri kesempatan bertemu di celah kesibukan jadual penggambaran.

Lebih daripada meluangkan masa, sokongan Adam yang paling dihargai adalah ketika berdepan tekanan menghidupkan sesuatu karakter.

Adam sentiasa menjaga keadaan mentalnya setiap kali terasa mahu menyerah berdepan watak berat.

Semakin matang, Sweet juga semakin berhati-hati menentukan bahagian kehidupan yang mahu dikongsikan kepada umum.

“Saya sudah banyak kurangkan hantaran tentang keluarga sebab mahu menjaga privasi. Kalau dahulu mungkin semua benda saya hendak kongsi. Sekarang lebih kepada diri saya, Adam dan mereka yang memang terlibat dalam industri,” jelasnya.

SWEET dan Yana Samsudin kini menterjemahkan erti kasih sayang sebagai adik-beradik dalam naskhah Menantu Tanpa Reda siaran Astro Prima.

Menantu Tanpa Reda

Berkongsi tentang perkembangan terbaharu, pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) itu sedang hangat dengan drama rantaian, Menantu Tanpa Reda yang menemui penonton menerusi slot Tiara, Astro Prima, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 8 malam.

Menerusi drama tersebut, Sweet membawakan watak Suzila, bergandingan dengan Yana Samsudin sebagai kakaknya, Suhana.

Antara bahagian yang paling menyentuh emosi kali ini adalah hubungan Suzila dengan abah, lakonan Kazar Saisi.

Di sebalik konflik cinta dan rumah tangga yang menggerakkan cerita, perasaan seorang anak terhadap bapanya memberikan kesan tersendiri kepada pelakon itu.

“Awalnya saya takut akan rasa kekok dengan abang Kazar. Tetapi apabila berlakon, perasaan sebagai anak itu sangat terasa.

“Sampai saya rasa, walaupun nanti sudah habis penggambaran, abang Kazar tetap jadi bapa saya sampai bila-bila,” kata Sweet.

Keserasian bersama Yana juga dibina dengan membawa rasa sayang sebagai adik-beradik ke luar set. Bagi Sweet, hubungan itu perlu terasa dekat supaya emosi yang diterjemahkan ketika berlakon dapat dipercayai penonton.

“Panggilan along dan adik itu kami masih gunakan walaupun berbual di luar penggambaran. Kami keluarkan rasa sayang itu walaupun bukan ketika sedang berlakon,” ujarnya.

Apabila menyentuh keberanian Suzila mempertahankan cinta sehingga sanggup berkahwin di Thailand, Sweet mempunyai pendirian berbeza.

Dalam realiti, restu ibu tetap keutamaan.

“Pertahankan cinta apabila kita nampak orang itu membawa diri kita lebih dekat kepada Allah. Tetapi untuk saya, susah hendak menerima keadaan tanpa restu sebab apa pun yang berlaku, saya akan pastikan dapat restu mama.

“Saya tidak akan berani seperti Suzila sampai pergi ke Thailand untuk berkahwin,” tutupnya.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok