Kurniakan isteriku haji mabrur – Doa Yusry buat Lisa Surihani

 

PENYANYI dan pelakon Datuk Yusry Abdul Halim mendoakan agar isterinya, Datin Lisa Surihani yang kini mengerjakan rukun Islam leima di Mekah dikurniakan ibadah haji yang mabrur.

Yusry, 52, berkata, dia juga berharap setiap urusan sepanjang musim haji tahun ini dipermudahkan.

“Isteriku tercinta, dijemput lagi melangkah ke Tanah Suci sebagai tetamu Allah SWT.

“Semoga setiap langkahmu dipermudahkan, doa diangkat ke langit dan setiap ibadah diterima dengan penuh rahmat-Nya,” katanya dalam satu hantaran Instagram.

Dia juga berharap Lisa tenang dan sabar dalam menjalani setiap rukun dan ibadah yang dilakukan di Tanah Suci.

“Ya Allah, kurniakanlah isteriku haji yang mabrur, hati yang tenang, serta perjalanan yang dipenuhi keberkatan dan perlindungan-Mu.

“Semoga pulang nanti membawa cahaya iman yang lebih indah buat diri, keluarga dan kehidupan kami,” ujarnya.

Ahli kumpulan KRU itu juga sempat menitipkan hasrat agar diberikan peluang untuk menunaikan ibadah haji pada musim akan datang.

“Titipkan juga doa buat kami di hadapan Kaabah nanti, doakan juga supaya suamimu bakal menyusul bersama-samamu suatu hari nanti,” katanya lagi.

Terdahulu, Lisa pada 7 Mei lalu berkongsi kepada umum dia bakal berangkat ke Tanah Suci, Mekah untuk menunaikan rukun Islam kelima pada musim haji tahun ini.

Yusry bagaimanapun tidak menyertai Lisa susulan rayuannya untuk mendapatkan visa bagi musim haji kali ini gagal. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok