‘Kakak saya baik, dia berhak dapat lelaki baik’

KALAU kakak kahwin, saya akan rasa sangat sedih.’

Itu luahan jujur penyanyi Irfan Haris yang berharap kakaknya, Amira Othman dipertemukan jodoh dengan lelaki budiman serta mampu menghargai wanita kesayangannya itu.

Menerusi siaran langsung dalam TikTok, Irfan atau nama sebenarnya Irfan Haris Othman, 18, berkata, dia terlalu menyayangi kakaknya dan sukar menerima kenyataan andai satu hari nanti Amira menjadi milik orang.

“Saya harap sesiapa sahaja yang mengahwini kakak, dapat menjaganya dengan baik.

Kakak saya berhak untuk dapatkan lelaki yang baik, sebab dia pun seorang yang baik,” katanya menerusi video dalam TikTok.

Kenyataan pelantun lagu Redha itu sekali gus mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya bersetuju bahawa Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, 31, sememangnya layak mendapat pasangan sehebat dirinya.

“Perempuan sebaik Amira memang patut dilamar lelaki yang tahu menghargai,” komen netizen.

Kalau jodoh dengan Fattah, alhamdulillah. Sama cantik, sama serasi,” tulis peminat.

“Kami doakan Amira bahagia dunia akhirat,” kata pengguna media sosial.

Untuk rekod, Amira dan aktor Fattah Amin sebelum ini pernah digandingkan sebagai wajah kempen beberapa jenama popular hingga mencetuskan gosip mereka lebih daripada sekadar rakan artis.

Biarpun tidak pernah membuat sebarang pengakuan terbuka, peminat menyifatkan pasangan itu serasi dan turut mendapat ‘restu’ keluarga masing-masing.

Terbaharu, khabar angin bertiup kencang mengatakan mereka bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat, namun kedua-duanya memilih untuk berdiam diri.

Malah, pengurus Fattah, Aca hanya meminta orang ramai mendoakan yang baik-baik. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok