‘Arwah aktif mendaki, semua gunung di Malaysia sudah ditawan’

“Masa hari raya lalu, dia ada beritahu nak berehat mendaki gunung dan nak mula sertai larian marathon pula.”

Demikian antara yang pernah dikongsi pendaki Malaysia, Allahyarham Rennie Abdul Ghani, 57, kepada adik iparnya yang juga pelakon, Riezman Khuzaimi pada Hari Raya Aidilfitri lalu.

Menurut Riezman, hatinya sebak apabila teringat kata-kata tersebut dan tidak menyangka Gunung Rinjani menjadi puncak terakhir yang ditawan arwah.

“Arwah seorang yang sangat aktif dalam dunia pendakian dan semua gunung di Malaysia sudah ditawan termasuk Gunung Kinabalu. Selepas habis semua gunung di sini, dia aktif pula untuk ke Indonesia.

“Tapi paling sedih bila teringat dia pernah cakap pada saya nak relaks daripada aktiviti mendaki dan mahu sama-sama aktif dengan sukan larian pula.

“Bila semua ini terjadi dan perbualan itu terlintas dalam fikiran, memang sedih,” katanya kepada HibGlam hari ini.

Menerima berita duka tersebut sekitar pukul 8 malam semalam, Riezman dan keluarga dimaklumkan arwah tergelincir ketika melalui kawasan curam Torean yang merupakan salah satu daripada tiga laluan terdapat di gunung itu.

“Kami dimaklumkan jenazah mula dibawa keluar dari lokasi tersebut sekitar pukul 6.30 pagi dan ketika ini usaha tersebut masih diteruskan.

“Kawasan pergunungan dan helikopter pun tak dapat nak akses ke lokasi kejadian. Jadi, jenazah memang akan dipikul untuk dibawa turun ke bawah.

“Buat masa ini, anak arwah sudah ke sana dan harap semua urusan dipermudahkan. Sebab kami pun masih tak tahu proses untuk bawa pulang jenazah dan sebagainya,” katanya yang kali terakhir bertemu arwah sekitar dua minggu lalu.

Terdahulu, hasrat seorang pendaki Malaysia melakukan pendakian kali terakhir berubah tragedi apabila maut ketika dalam perjalanan turun selepas menawan puncak Gunung Rinjani di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat, Indonesia, semalam. –HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok