“KALAU ada hadiah, saya tak rasa saya sertai sebab nanti kerja jadi lain.”
Demikian perkongsian Datuk Ahmad Tamimi Siregar mendedahkan ketiadaan hadiah wang tunai dalam program Kilauan Emas Selebriti 2026 (KES2026) menjadi kriteria utama untuk menyertai pertandingan realiti tersebut.
Kata Tamimi, 76, pihak Astro tetap menyediakan pampasan serta bayaran yang bersesuaian tanpa perlu mana-mana peserta meletakkan sebarang tuntutan melampau.
“Saya tahu (tiada hadiah), cuma Astro ada beri kompensasi untuk kita, bayaran pun mereka yang letak. Kita tak tuntut (demand) apa pun.
“Bila dapat berkumpul selama tujuh minggu, kita kenal hati budi setiap kawan. Itu paling penting,” katanya usai sidang media KES2026, semalam.
Ujar pelakon filem Perjalanan Pertama itu, konsep amal jariah yang diterapkan setiap minggu memberikan kepuasan tersendiri kerana sumbangan yang diberikan dapat disalurkan kepada pihak yang memerlukan sambil menikmati persaingan sihat bersama rakan artis lain.
“Sebenarnya komitmen yang sepenuhnya walaupun hajat kita setuju untuk masuk sebab tiada hadiah. Itu kriteria pertama.
“Bila tiada hadiah, kita masuk bertanding berseronok sesama kita. Bukan ada benda yang kita nak kejar.
“Pada usia ini, sebenarnya material bukan tak penting tapi jangan memalukan diri sendiri, nak kejar apa lagi?
“Apa yang patut kita lakukan dengan program amal jariah setiap minggu, itu sumbangan kita kepada rakan-rakan. Dalam pada itu kita bersaing secara sihat sepanjang tujuh minggu,” jelasnya.
Sebelum ini, Jalaluddin berjaya menundukkan lima peserta lain dalam KES2026 dan diikuti Tamimi yang menduduki tempat kedua.
Tempat ketiga pula dimiliki Zila Bakarin dan diikuti Fazlina Ahmad Daud (tempat keempat), Amyza Aznan (tempat kelima) dan Rahhim Omar (tempat keenam). – HIBGLAM

