PELAKON Zeera Azizi hairan apabila menjadi sasaran kecaman netizen warga Indonesia hanya kerana memuat naik memakai jersi pasukan bola sepak kebangsaan.
Sebagai rakyat Malaysia, Zeera atau nama penuhnya Nurazeera Azizi, 30, berasa wajar baginya berbangga terhadap tanah airnya serta pasukan bola sepak kebangsaan tanpa berniat menghasut atau memprovokasi mana-mana pihak.
“‘Dear’ warga Indonesia, apa yang saya sudah sakitkan hati kalian ya? Rasanya hantaran saya tidak menghasut mana-mana pihak.
“Saya lahir di Malaysia, tentu sekali saya bangga dengan negara kelahiran saya begitu juga dengan pasukan Harimau Malaya.
“Kenapa perlu menunjukkan ketidakpuasan hati kalian hanya kerana saya memakai jersi pasukan Malaysia?,” katanya dalam Threads.
Tambah penyampai radio Era itu, dia langsung tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang mencerca atau merendahkan skuad kebangsaan Indonesia (Timnas).
“Sedangkan saya langsung tidak memulai apa-apa provokasi mahupun mencerca pasukan pemain daripada Timnas kalian.
“Takkan hanya kerana Indonesia layak ke final, saya harus menukar kewarganegaraan saya?,” soalnya.
Sebelum ini, Zeera memuat naik foto menggayakan jersi pasukan Harimau Malaya dengan kapsyen emoji bendera Malaysia.
Namun, hantaran tersebut menjadi sasaran rakyat Indonesia dan menerima pelbagai kecaman disebabkan perlawanan Malaysia menentang Indonesia dalam aksi Divisyen 1 Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Isnin lalu. Sejak itu, perang antara penyokong kedua-dua pasukan dalam media sosial masih berterusan, malah boleh dikatakan makin hangat. – HIBGLAM.

