‘Kejayaan saya 99 peratus doa mereka’ – Aedy hadiahkan ibu, kakak kereta

SIMBOLIK kesyukuran sempena genap usia 33 tahun, pelakon Aedy Ashraf menghadiahkan sebuah kereta jenama iCaur berwarna hitam buat ibunya, Liza Zain dan kakaknya.

Hadiah itu juga sebagai penghargaan mendalam terhadap kakaknya yang sentiasa meluangkan masa menjaga dan menemani ibunya di rumah.

“Sejujurnya, kenapa saya pilih untuk hadiahkan ibu dan kakak pada hari lahir saya sebab bagi saya tanpa mereka, saya takkan lahir di dunia ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tanpa ibu saya, saya takkan lahir dalam dunia ini dan membesar dengan kakak saya, mengenali dia dengan sejenis orang yang sangat-sangat penyayang, berhati besar. Saya rasa itu cara untuk tunjukkan cara saya hargai mereka.

“Kakak saya sendiri korbankan masa dia dengan kawan-kawan tak keluar, hanya untuk jaga dan teman ibu saya dekat rumah. Saya fikir, itu perkara paling besar yang saya tahu saya tak pernah mampu bayar sampai bila-bila,” ujarnya.

Bagi pemilik nama lengkap Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, pemberian tersebut tidak akan pernah mampu menandingi pengorbanan masa, kasih sayang serta doa yang tidak putus-putus daripada mereka sepanjang jatuh bangun kerjayanya.

“Apa yang saya bagi sebagai hadiah untuk ibu dan kakak saya itu, tiada apa pun berbanding pengorbanan mereka terutama masa dan doa-doa mereka.

“Bagi saya untuk berada di sini, dengan apa yang saya ada, kejayaan saya alhamdulillah untuk setakat ini adalah 99 peratus doa mereka,” katanya.

Dengan pemberian tersebut, Aedy berharap dapat memberi kemudahan dan kesenangan buat ibu serta kakaknya untuk bergerak ke mana-mana.

“Saya harap hadiah saya kepada mereka pada hari jadi saya akan memberi sekurang-kurangnya sedikit kesenangan untuk mereka bergerak ke mana-mana. Nak pergi jalan-jalan atau balik kampung,” katanya lagi.

Semalam, Aedy memuat naik dalam Threads menghadiahkan ibu dan kakaknya sebuah kenderaan sempena ulang tahun kelahiran yang ke-33.

Selain menghadiahkan kenderaan buat ibu dan kakaknya, Aedy turut meluangkan masa pulang ke Bachok, Kelantan bagi menyambut hari istimewa tersebut bersama bapanya.

Malah, dia turut memilih untuk berkongsi rezeki dengan meraikan anak-anak yatim di sebuah restoran, menjadikan ulang tahun kali ini lebih bermakna dan penuh berkat. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok