PEMENANG tempat ketiga Kilauan Emas Selebriti, Zila Bakarin mengakui sedia maklum tentang habuan bakal diterima setiap pemenang.
Menurut Zila atau nama sebenarnya Rosmawati Bakarin, 51, dia bagaimanapun berharap akan ada magis yang berlaku pada hari konsert akhir yang berlangsung semalam.
“Hentikan isu habuan. Saya bercakap daripada pandangan saya. Tak setuju atau tak suka, terpulang.
Sebenarnya dah diberitahu. Ya, saya dah tahu dan faham. Dan bukan saya yang berada di tempat habuan itu.
“Bila saya beri pandangan dan keluhan, itu adalah benar-benar dari sudut pandangan saya dan saya mengharapkan ada magik pada hari kejadian,” tulisnya dalam akaun Threads.
Tambahnya lagi, dia sekadar rasa kasihan kepada setiap peserta yang berjuang dalam pertandingan itu.
Saya kasihankan kami. Tapi kenapa kami berselindung dalam selimut kepam masing-masing? Selesa dalam selimut masam daripada hidup udara segar. Pelik tapi benar. Tetapi saya faham,” tulisnya lagi.
Menjengah ruangan komen, ramai netizen yang memberikan maklum balas terhadap hantaran itu termasuklah pelakon popular, Rita Rudaini.
Ishh… baru nak masuk tahun depan sebab Sharifah Shahira ajak. Tak jadilah,” komennya berseloroh.
Zila dilihat membalas komen Rita dengan meminta agar aktres itu menyertai Kilauan Emas Selebriti musim hadapan kerana pasukan yang terlibat semuanya okey.
Terdahulu luahan Zila mengenai kekesalannya tidak mendapat habuan wang tunai biarpun menduduki tempat ketiga mengundang perhatian ramai.
Menurutnya, segala pengorbanan dan penat lelah yang dilalui sepanjang tujuh minggu terlibat dengan program berkenalan seakan tidak berbaloi.
Kilauan Emas Selebriti menobatkan pelakon veteran, Datuk Jalaluddin Hassan sebagai juara manakan naib juara pula disandang oleh Datuk Ahmad Tamimi Siregar. – HIBGLAM

