BELUM pun genap usia 20 tahun, pelakon Mhia Firdaus sudah melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pelakon Melayu pertama menerima pencalonan kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Golden Horse ke-63.
Ibarat ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi, pencapaian membanggakan cucu kepada seniwati Datuk Fauziah Nawi itu diraih menerusi watak gadis pekak dalam filem kerjasama Malaysia dan Taiwan, SAYANG SAYANG, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan seni anak muda berkenaan.
Mhia yang juga anak kepada pelakon Farah Ahmad itu mengakui masih terkedu dengan pengiktirafan tersebut, apatah lagi pencalonan dalam festival filem berprestij berkenaan tidak pernah terlintas dalam fikirannya.
“Sejujurnya, saya masih cuba menghadam berita ini. Saya amat berbesar hati dan bersyukur apabila tercalon dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Golden Horse ke-63.
“Saya tidak pernah membayangkan perkara ini akan berlaku dalam hidup saya. Justeru, saya benar-benar berasa bertuah kerana diberikan peluang sebegini.
“Pertama sekali, terima kasih kepada mama, Farah Ahmad, kakak dan adik saya kerana sentiasa berada di sisi, mempercayai serta menyokong saya dalam setiap langkah perjalanan ini. Kehadiran kalian menjadikan detik istimewa ini lebih bermakna,” tulisnya dalam Instagram.
Pemilik nama sebenar, Mhia Farhana Firdaus menambah, kejayaan tersebut turut didedikasikan kepada pengarah, barisan pelakon serta seluruh kru produksi SAYANG SAYANG atas usaha dan komitmen mereka dalam menghidupkan naskhah berkenaan.
“Terima kasih kepada pengarah, rakan pelakon dan seluruh kru atas kepercayaan, bimbingan, kerja keras serta usaha menghidupkan kisah ini. Pencalonan ini tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa sumbangan setiap individu sepanjang perjalanan tersebut.
“Kepada semua yang sentiasa menyokong, mempercayai dan memberikan semangat kepada saya, terima kasih dari lubuk hati yang paling dalam.
“Pencalonan ini sudah menjadi satu pencapaian amat bermakna dalam perjalanan seni saya. Saya sangat bersyukur kerana berpeluang menjadi sebahagian daripada Golden Horse ke-63. Terima kasih atas pengiktirafan luar biasa ini. Saya menantikan pengalaman istimewa seterusnya,” ujarnya.
SAYANG SAYANG meraih lima pencalonan pada Golden Horse ke-63, merangkumi kategori Lakon Layar Asal Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Pelakon Baharu Terbaik, Kesan Bunyi Terbaik serta Kesan Visual Terbaik.
Filem arahan pengarah Taiwan, Tang Hsiang-Chu itu turut mencipta sejarah menerusi pencalonan Nandagopall Mohan sebagai pelakon India Malaysia pertama tercalon dalam kategori Pelakon Baharu Terbaik pada anugerah sama.
Tang pula tercalon bagi kategori Lakon Layar Asal Terbaik, manakala Wu Shu-Yao, Hsu Chiao-Han dan Liu Pei-Min menerima pencalonan Kesan Bunyi Terbaik selain Tomi Kuo, Ivan Lin dan Hannah Han tercalon bagi kategori Kesan Visual Terbaik.
Berlatarkan Pantai Timur Malaysia, SAYANG SAYANG mengisahkan tiga anak muda pekak daripada latar belakang berbeza, iaitu Ajay, Mina dan San San, dalam usaha mencari identiti, mengejar impian serta menentukan tempat mereka dalam kehidupan.
Filem tersebut turut menampilkan barisan pelakon seperti Lee Lee-Zen, Sasha Tang, Jo Kukathas, Ong Ai Leng, Farah Ahmad, Amir Ahnaf, Vemanna Appannah, Khir Rahman, Mia Tan Shu Man, Jonathan Lee dan Tan Li Yang.
Selain Mhia dan Nandagopall, beberapa anak seni tempatan turut mendapat perhatian dalam pencalonan tahun ini.
Yeo Yann Yann tercalon bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Singapura, We Are All Strangers, manakala Jack Tan bersaing dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Dead Tide.
Pengarah dan penulis skrip tempatan, Edmund Yeo, turut menerima empat pencalonan menerusi filem The Age of Goodbyes, termasuk kategori Pengarah Terbaik, Lakon Layar Adaptasi Terbaik, Sinematografi Terbaik dan Arahan Seni Terbaik.
Festival Filem Golden Horse ke-63 dijadualkan berlangsung di Taipei Music Center pada 22 November ini. Filem SAYANG SAYANG pula dijadualkan tayangan di Taiwan pada 16 Oktober sebelum menemui penonton Malaysia bermula 5 November depan. – HIBGLAM.

