Neelofa dedah PKP titik mula cinta dengan Haris Ismail

JODOH hadir indah pada waktunya, usahawan dan pengacara Neelofa mendedahkan detik awal perkenalan dengan suami tercinta, Haris Ismail bermula ketika negara dilanda pandemik Covid-19 sekitar tahun 2020.

Menerusi perkongsian video di TikTok, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 36, berkongsi kisah tersebut berlaku sewaktu umat Islam menjalani ibadah puasa dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Masa itu dah seminggu Ramadan, saya belum terawih langsung sebab lockdown. Tiada pengisian. Jadi saya tanya kawan, ada tak orang boleh datang jadi imam?

“Saya cuba hubungi seorang ustaz, tapi dia sibuk. Kawan saya cadangkan PU Haris. Dari situ semuanya bermula,” katanya.

Tambah bekas pengacara MeleTOP itu, mereka berdua sebelum ini pernah bertemu dalam beberapa majlis, namun langsung tidak bertegur sapa.

Malah ketika itu Haris atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail, 30, baru sahaja pulih selepas dijangkiti virus Covid- 19.

“Kami pernah jumpa beberapa kali sebelum Covid-19. Tapi tak pernah berbual pun. Perjumpaan pada tahun 2020 jadi titik mula.

“Dia antara pesakit terawal dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Haris pernah kata, ‘masa tu katil sebelah dah ada kain kafan, hari-hari orang meninggal’.

“Dari situ dia mula mencari hala tuju hidup. Saya pun dalam fasa sama. Allah pertemukan kami,” ujarnya.

Neelofa dan Haris selamat diijabkabulkan pada 26 Mac 2021.

Hasil perkahwinan, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Muhammad Bilal dan Abdullah Abbas. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok