SEMUA pasangan suami isteri mengimpikan hidup bahagia hingga ke akhir hayat.
Tiada siapa mahu mahligai cinta yang dibina berakhir dengan perceraian.
Namun, ada perkahwinan yang hanya mampu bertahan seketika cuma. Meskipun pahit untuk ditelan, itulah realiti yang terpaksa dihadam sesetengah pasangan.
Situasi ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja termasuk golongan kenamaan dan selebriti.
HibGlam menyenaraikan beberapa bintang popular Korea Selatan yang mengecapi bahagia hidup berumah tangga hanya dalam tempoh yang singkat.
Seo In-young
PADA 2024, bekas ahli kumpulan Jewelry iaitu Seo In-young berpisah dengan pasangannya selepas 13 bulan hidup bersama.
In-young atau lebih dikenali sebagai Elly mengesahkan khabar tersebut selepas media melaporkan bekas suaminya memfailkan perceraian.
“Saya terkejut mengetahui perceraian kami melalui artikel. Baru-baru ini, suami ada beritahu kami tidak sesuai antara satu sama lain tetapi tidak pernah sebut mahu berpisah.
“Tiada apa-apa yang buruk berlaku antara kami dan saya perlu bercakap dengannya lebih lanjut,” katanya.
Meskipun diuji dengan perceraian, bintang K-pop berusia 40 tahun itu merancang untuk membuat kemunculan semula sebagai penyanyi tahun ini.
Heo Dong-won
SELEPAS setahun berkahwin, pelakon Heo Dong-won mengumumkan perceraian dengan bekas isteri pada 29 Februari tahun lalu.
Memandangkan perkara tersebut berkaitan dengan kehidupan peribadi, pihak agensi iaitu Ace Factory tidak dapat memberikan maklumat lanjut termasuk punca perceraian tersebut.
Difahamkan, bintang drama popular The Glory itu turut memadam semua foto bekas isterinya dalam media sosial.
P Goon, Yumin
PASANGAN penyanyi P-Goon dan Yumin sah bercerai pada Februari 2019 selepas enam bulan mendirikan rumah tangga.
Menerusi hantaran Instagram, bekas ahli kumpulan RaNia itu mendedahkan bahawa dia dan bekas suami sudah tinggal berasingan.
“Saya dan P-Goon menimang bayi pertama pada 7 Disember tetapi konflik antara kami semakin teruk ketika tinggal bersama.
“Jadi minggu lalu, kami putuskan untuk berpisah.
“Kami sepakat untuk tidak mendedahkan wajah bayi kami kepada umum tetapi P-Goon melanggar perjanjian itu ketika kami tinggal berasingan,” katanya.
Myung Se-bin
PADA Ogos 2007, pelakon Myung Se-bin berkahwin dengan Kang Ho-sung yang bekerja sebagai peguam.
Bagaimanapun, selepas lima bulan, pasangan terbabit memfailkan perceraian dan hubungan mereka masih dalam keadaan baik.
Mereka mengakui terdapat beberapa keraguan dan tiada keserasian dalam banyak hal termasuk kerjaya sebelum berkahwin.
Namun, mereka tetap meneruskan perkahwinan dan percaya boleh menyelesaikan perbezaan itu
Bintang berusia 49 tahun terbabit memaklumkan walaupun sudah berpisah, mereka saling menghormati dan mempercayai satu sama lain.
Lee Min-young, Lee Chan
PASANGAN pelakon Lee Min-young dan Lee Chan mendirikan rumah tangga pada 10 Disember 2006 selepas tujuh tahun bercinta.
12 hari kemudian, perkahwinan mereka berakhir akibat keganasan rumah tangga sehingga mengakibatkan Min-young keguguran dan dikejarkan ke hospital.
Lee Chan dihukum penjara dua tahun kerana menyerang aktres berusia 49 tahun itu dalam kereta ketika bertengkar.