Dahulu disanjung, kini menyepi atas pilihan

DUNIA hiburan sering kali melahirkan bintang-bintang bersinar terang, namun dalam sekelip mata juga ada wajah-wajah kesayangan ramai yang perlahan-lahan menyepi dari industri.

Bagi para peminat setia, kehilangan kelibat selebriti popular dari kaca televisyen mahupun naskhah filem sering meninggalkan tanda tanya besar kepada mereka.

Apakah mereka berdepan fasa keletihan industri sekali gus memilih untuk memberi tumpuan kepada keluarga atau sengaja melangkah keluar demi mencari ketenangan di luar zon sorotan lampu studio?

Memuatkan artikel berkaitan…

Fenomena tersebut membuktikan bahawa sorotan kemasyhuran tidak bersifat kekal dan setiap anak seni akhirnya pasti mendepani persimpangan jalan untuk menentukan hala tuju kehidupan yang lebih bermakna.

LAUDYA CYNTHIA BELLA

LAUDYA merupakan seorang pelakon yang namanya mula melonjak sejak era kegemilangan sinetron dan filem pada era 2000-an.

Dia dikenali menerusi pelbagai naskhah popular termasuklah filem Virgin, Surga Yang Tak Dirindukan dan Di Bawah Lindungan Ka’bah.

Filem Buya Hamka arahan Fajar Bustomi menjadi kemunculan terakhirnya di layar perak selepas kali terakhir membintangi filem Ambu pada 2019.

Pada tahun 2022, wanita berusia 38 tahun itu secara terbuka mengumumkan hasratnya untuk meninggalkan dunia lakonan bagi memberi sepenuh tumpuan kepada kehidupan peribadi, mendalami ilmu agama serta mengusahakan bidang perniagaan.

ARUMI BACHSIN

ARUMI Bachsin mula menempa nama dalam industri seni menerusi sinetron Azizah sebelum membintangi pelbagai filem layar lebar popular seperti 18+: True Love Never Dies, 3 Hati Dua Dunia, Satu Cinta dan Hattrick.

Filem Musik Untuk Cinta pada 2017 menjadi naskhah terakhir penampilannya sebagai pelakon.

Sejak mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Emil Dardak, pada tahun 2013, wanita berusia 34 tahun itu mula meninggalkan dunia seni secara rasmi.

Dia memilih untuk mendedikasikan seluruh masa mendampingi suami yang aktif dalam arena politik serta menguruskan keluarga.

GISELA CINDY

GISELA CINDY

BEKAS pelakon cilik popular era 2000-an sering dikenali dengan watak-watak antagonis yang ‘menyakitkan hati’ penonton dalam drama bersiri hit seperti Bidadari, Buku Harian Nayla dan Candy.

Gisela membuat keputusan berani untuk meninggalkan industri hiburan dan berhijrah menetap di Kanada sejak 2012 selepas merasa cukup puas dengan pencapaian kerjaya seninya di Indonesia.

Di sana, dia melanjutkan pelajaran dan membina kehidupan baharu di Toronto.

Namanya kembali mencuri tumpuan ramai apabila pelakon berusia 32 tahun itu sah mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya, James Nguyen, pada 8 Ogos lalu.

NINA ZATULINI

BAGI peminat drama bersiri era 2010-an, nama Nina Zatulini pasti sangat melekat di hati peminat menerusi naskhah popularnya seperti Arti Sahabat, Kita Nikah Yuk dan Pangeran.

Wataknya sebagai Angel dalam drama Arti Sahabat antara yang paling terpahat dalam ingatan penonton.

Selepas mendirikan rumah tangga pada tahun 2016, Nina atau nama asalnya Shadrina Zatulini Munaf perlahan-lahan mengurangkan aktiviti seninya.

Tidak pernah mendapat larangan daripada suami, dia bagaimanapun berhenti daripada industri hiburan demi menggalas tanggungjawab sepenuhnya sebagai seorang ibu kepada empat orang cahaya mata.

Nina mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Chandra Tauphan Ansar pada 2016.

NADIA VEGA

DIKENALI sebagai pelakon, penyanyi dan DJ berbakat, Nadia Vega mencipta fenomena tersendiri menerusi sinetron remaja popular Inikah Rasanya pada era 2000-an.

Berbeza dengan rakan artis lain, perjalanan seni Nadia agak unik kerana dia melalui beberapa fasa keluar masuk industri.

Selepas berkahwin, dia memilih untuk menetap di luar negara bagi mengusahakan perniagaan penjagaan kulit (skincare) serta bidang animasi.

Wanita berusia 38 tahun itu pernah membuat kemunculan istimewa menerusi FTV pada 2016 akibat rindu pada dunia lakonan ketika pulang ke Indonesia, selain tampil dalam filem Gas Kuy pada 2021.

Selepas sempat menetap di Singapura, dia kini memilih untuk berhijrah ke Jerman bagi meneruskan pengajian serta menguruskan pelbagai projek peribadi jangka panjang.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok