Jay Park antara idola K-Pop ‘keluar’ mengejut

DALAM dunia K-Pop, pemergian seorang anggota bukan sekadar perubahan formasi, malah mampu mengubah arah perjalanan sesebuah kumpulan.

Setiap anggota mempunyai peranan tersendiri sehingga kewujudan seorang figura dalam kumpulan menjadi sebahagian daripada identiti keseluruhan.

Justeru, apabila seorang idola angkat kaki, kekosongan ditinggalkan terasa lebih besar daripada ruang vakum dalam gambar kumpulan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ada perpisahan diumumkan melalui kenyataan agensi, ada berlaku secara mengejut dan tidak kurang, ada pula tercetus daripada kontroversi sehingga peminat

Kimchi Panas minggu ini menyingkap empat pengunduran idola K-Pop daripada kumpulan masing-masing.

Jay Park

Sebelum adanya Instagram dan TikTok menjadikan kontroversi idola tersebar ke seluruh dunia dalam sekelip mata, MySpace milik Jay Park terlebih dahulu menjadi pencetus kepada salah satu pemergian paling menggemparkan dalam sejarah K-Pop.

Pada tahun 2009, pemilik nama sebenar Park Jae-beom itu berdepan kecaman hebat di Korea Selatan selepas hantaran lama ditulisnya ketika remaja dan masih bergelar pelatih muncul semula di internet.

Komen berkenaan meluahkan kekecewaan terhadap kehidupannya di Korea lalu ditafsir sebagai penghinaan terhadap negara tersebut.

Jay Park memohon maaf sebelum meninggalkan kumpulan 2PM lalu kembali ke Amerika Syarikat.

Ramai menyangka kontroversi tersebut menjadi titik noktah buat kariernya, namun semua itu membuka pintu kepada perjalanan baharu.

Dia akhirnya kembali sebagai artis solo sebelum membina pengaruh jauh melangkaui sistem idola selain mengasaskan AOMG dan kemudian H1GHR MUSIC, sekali gus muncul sebagai antara figura yang berpengaruh dalam arena hip-hop dan R&B Korea.

B.I

B.I

Bagi iKON, ketiadaan B.I bukan hanya kehilangan seorang anggota. Kim Han-bin merupakan ketua, penulis lagu dan penerbit utama di sebalik sejumlah karya penting kumpulan tersebut.

Pada 2019, laporan timbul mengenai dakwaan cubaan membeli dadah haram. B.I kemudian mengumumkan keputusan meninggalkan iKON dengan alasan mahu bertanggungjawab serta mengelakkan sebarang kemudaratan lanjut terhadap kumpulan.

YG Entertainment selepas itu menamatkan kontrak eksklusifnya.

Namun, kontroversi tidak berakhir dengan pemergian tersebut. Kes berkenaan terus melalui proses perundangan sebelum B.I disabitkan kesalahan pada 2021 kerana membeli dan menggunakan dadah haram. Dia kemudian menerima hukuman penjara secara gantung.

Ketiadaan B.I memberi kesan besar kepada iKON kerana sebahagian identiti muzik kumpulan dibina menerusi kebolehannya menulis dan menghasilkan lagu. Formasi tersebut terpaksa meneruskan perjalanan tanpa ketua serta tunjang kreatif mereka.

B.I bagaimanapun tidak menghilang daripada industri muzik. Pada 2021, dia kembali sebagai artis solo menerusi projek amal Midnight Blue, sebelum melancarkan album studio solo sulung, Waterfall, pada tahun sama.

Seunghan

Jika pengunduran diri idola lain tercetus selepas kontroversi besar, kisah Seunghan daripada kumpulan RIIZE pula memperlihatkan betapa kuatnya pengaruh peminat dalam menentukan hala tuju sebuah kumpulan ‘rookie’ (baru).

Tidak lama selepas RIIZE membuat debut pada September 2023, beberapa video dan gambar peribadi sebelum debut muncul dalam talian termasuk memaparkan idola berusia 23 tahun itu merokok di jalanan ketika masih bawah umur.

Tekanan awam semakin memuncak sehingga SM Entertainment mengumumkan Seunghan akan berehat tanpa tempoh ditetapkan pada November 2023 bagi melindungi perjalanan promosi kumpulan tersebut.

Selepas hampir setahun menyepi, bahagian produksi SM Entertainment mengumumkan pada 11 Oktober 2024 bahawa Seunghan akan kembali menyertai aktiviti RIIZE secara berperingkat. Namun, pengumuman itu mencetuskan reaksi keras daripada sebahagian peminat domestik.

Ratusan kalungan bunga pengebumian yang menuntut penyingkirannya diletakkan di sekitar ibu pejabat SM Entertainment di Seongsu-dong.

Wonho

Pengunduran Wonho daripada Monsta X pada Oktober 2019 menjadi antara contoh bagaimana dakwaan dalam media sosial mampu menggoncang karier seorang idola dalam tempoh singkat.

Beberapa dakwaan daripada kenalan lama muncul secara dalam talian, termasuk isu hutang lampau, salah laku ketika zaman remaja serta tuduhan penggunaan dadah pada 2013.

Bagi melindungi aktiviti promosi Monsta X daripada tekanan media dan perhatian kontroversi semakin memuncak, Wonho mengambil keputusan meninggalkan kumpulan secara sukarela.

Selepas itu, siasatan narkotik dijalankan secara menyeluruh oleh polis dan pada Mac 2020, Agensi Polis Metropolitan Seoul membersihkan nama idola 33 tahun itu daripada semua dakwaan berkaitan dadah haram dan siasatan ditamatkan tanpa pertuduhan.

Wonho kemudian menandatangani kontrak bersama Highline Entertainment, subsidiari Starship Entertainment.
Pada tahun 2020, dia kembali sebagai artis solo dan penerbit, sekali gus membuka lembaran baharu dalam karier muzik selepas melalui tempoh penuh kontroversi.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok