USAHAWAN Ezwan Zain atau lebih dikenali sebagai Mr. E mengesahkan kesediaannya untuk membawa hubungan rapat bersama Primadona Alaf Baharu, Erra Fazira ke gerbang pernikahan.
Menyifatkan dirinya cukup matang untuk memikul tanggungjawab sebagai suami, Ezwan enggan membiarkan hubungan mereka tanpa arah dan berharap ikatan sah dapat disegerakan.
“Sebenarnya benda yang baik, kalau boleh biarlah cepat.
Cumanya kita tidak tahu majlis itu berlangsung tahun ini atau tahun depan,” katanya kepada HibGlam.
Ujar Ezwan, 44, mereka enggan berselindung malah mengakui ada berbincang membawa hubungan mesra ke tahap lebih serius, namun memilih untuk melaluinya tanpa tekanan.
Disebabkan kami sudah matang, hubungan ini dijalani dengan tenang. Chill-chill sahaja tapi tetap perlu ada perancangan, tak boleh tergantung begitu.
“Saya beritahu Erra, kita ikut saja aliran, tapi mesti ada hala tuju. Takkan nak biarkan begitu sahaja tanpa arah,” ujarnya pada Majlis Rumah Terbuka #Raya Sempoi anjuran Mind Order di Kueh Cafe, Seksyen 16, malam tadi.
Senada dengan Ezwan, Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, meminta orang ramai mendoakan yang terbaik dan menyerahkan segalanya kepada Allah SWT.
Pun begitu, pelakon filem Sembilu itu tidak menafikan wujud perasaan ragu-ragu untuk kembali bergelar isteri selepas bertahun-tahun bergelar ibu tunggal.
“Doakan sahaja. Kalau semuanya baik dan lancar, kami harap dapat ke fasa seterusnya secepat mungkin. Tapi tahun ini atau tahun depan, saya tidak pasti.
Apapun memang ada rasa skeptikal nak ke arah itu (kahwin). Tapi demi kebaikan dunia dan akhirat, saya perlu.
“Sekarang bukan soal takut, tapi bila sudah terlalu lama hidup solo, rasa selesa itu menebal. Namun saya fikir semula, adakah cukup untuk keseronokan dunia semata-mata? Jadi fitrah manusia, tetap perlukan pasangan,” luahnya.
Mengulas lanjut, ibu anak satu itu memaklumkan setakat ini keluarga kedua-dua pihak sudah saling mengenali, namun anak-anak belum lagi dilibatkan dalam sebarang perbincangan serius.
Paling penting katanya, apa yang dinikmati kini cukup membahagiakan dirinya.
“Untuk melangkah ke depan, perlu restu semua. Cuma buat masa ini belum libatkan anak-anak. Alhamdulillah, setakat ini semuanya okey.
Apapun dalam fasa sekarang, saya rasa bahagia, tapi tak berani nak cakap lebih-lebih. Alhamdulillah saya happy dengan apa yang ada,” tutupnya.
Terdahulu, Ezwan mengakui mula menjalinkan hubungan serius dengan Erra selepas berkenalan pada Ogos 2024.
Untuk rekod, Erra pernah berkahwin dengan Engku Emran pada 25 Oktober 2007 sebelum berpisah pada 18 Februari 2014. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya, kini berusia 16 tahun.
Sebelum itu, Erra juga pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003 namun berakhir dengan perceraian tiga tahun kemudian tanpa cahaya mata. – HIBGLAM