PENGALAMAN pahit terperangkap dalam hubungan toksik (toxic relationship) bukanlah satu perkara mudah untuk dilalui.
Di sebalik tirai glamor, tidak ramai yang tahu bahawa sesetengah daripada mereka pernah melalui siri penderitaan mental serta fizikal akibat terperangkap dalam hubungan toksik.
Fenomena ‘toxic relationship’ bukan sahaja memusnahkan kesihatan mental, malah mampu mengancam nyawa.
Di Indonesia, beberapa nama besar dalam industri hiburan pernah tampil berani membuka cerita lama bagi memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa penderitaan sedemikian boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
Ardina Rasti
KISAH pelakon Ardina Rasti pernah menggemparkan industri hiburan tanah air apabila dia menjadi mangsa keganasan fizikal yang dilakukan bekas kekasihnya yang juga seorang pelakon, Eza Gionino.
Insiden penganiayaan berat tersebut dilaporkan berlaku sebanyak dua kali iaitu pada Julai 2011 dan Jun 2012.
Dalam kejadian pertama, wanita berusia 40 tahun itu ditumbuk di muka sehingga jatuh dan ditendang berkali-kali hingga pengsan, sekali gus memicu serangan asma sehingga dia dikejarkan ke unit rawatan kecemasan.
Kejadian kedua pada Jun 2012 menyaksikan dia ditampar, diketuk kepala serta dihentak ke objek keras hingga mengalami kecederaan serius.
Kini, penderitaan lalu menjadi sejarah apabila pelakon filem Arumi itu bangkit membina kehidupan baharu yang penuh kebahagiaan bersama suami tercinta, Arie Dwi Andhika, serta dikurniakan cahaya mata yang comel.
Andien Aisyah
PENYANYI Andien Aisyah juga tidak terkecuali daripada terperangkap dalam ikatan percintaan yang membawa penderitaan.
Andien atau nama penuhnya Andini Aisyah Hariadi, 40, mendedahkan perbuatan kasar dan keganasan yang pernah dilakukan bekas kekasihnya.
“Saya pernah melalui ‘abbusive relationship’ dengan bekas kekasih saya dulu.
“Masa kali pertama kena pukul, saya terus minta putus,” katanya dalam hantaran di X (Twitter).
Walau bagaimanapun, rayuan lelaki berkenaan akhirnya melembutkan hati pelantun lagu Manusia Favorit itu untuk memaafkan dan menyambung semula hubungan mereka.
Malangnya, janji manis tersebut hanya sementara apabila penderitaan tersebut berlarutan selama sembilan bulan.
Berkat sokongan dan nasihat berterusan daripada ibunya, Andien akhirnya sedar bahawa sifat seseorang tidak mudah diubah lalu mengambil keputusan tegas untuk melangkah keluar.
Anya Geraldine
PELAKON Anya Geraldine, mengakui pernah berhadapan fasa hubungan tidak sihat selama enam tahun.
Menurut pemilik nama lengkap Nur Amalina Hayati itu, bekas kekasihnya sering menunjukkan tindak balas yang tidak wajar dan melampau setiap kali timbul perselisihan faham.
“Kalau saya minta putus, dia suka buat benda-benda yang toksik. Saya pula jenis malas nak berdebat kalau tengah marah.
“Tetapi dia tetap begitu, berteriak walaupun ada orang lain di rumah sampai sanggup pukul diri sendiri,” katanya dalam sebuah temu bual dalam YouTube.
Hubungan yang kerap putus-sambung itu bagaimanapun akhirnya benar-benar terputus.
Wanita berusia 30 tahun itu memberitahu bahawa bekas kekasihnya kini tidak lagi mengganggunya memandangkan lelaki itu sudah pun mendirikan rumah tangga.
Widy Vierratale
VOKALIS kumpulan Vierratale, Widy Soediro Nichlany juga pernah menjadi mangsa hubungan toksik selama empat tahun.
Menerusi luahannya, Widy mengakui perubahan fizikalnya yang semakin susut dan kurus pada ketika itu adalah disebabkan tekanan emosi berterusan yang dialaminya.
Bukan sahaja mengganggu kehidupan seharian, gangguan serta ugutan verbal daripada bekas kekasihnya turut memberi kesan negatif terhadap fokus serta persembahannya di atas pentas. – HIBGLAM
