Tak layan gosip, Aliff Aziz fokus pada Mansur & Liu

PENYANYI, Aliff Aziz enggan melayan khabar angin dia menjalin hubungan istimewa dengan pelakon gandingannya, Melinda Dadew dalam pementasan teater muzikal Muzikal Mansur & Liu seperti yang berlegar-legar dalam media sosial sejak beberapa hari lalu.

Menurut Aliff, 35, fokus utamanya ketika ini adalah untuk menghidupkan watak Sultan Mansur Shah yang dipertanggungjawabkan pengarah teater tersebut, Datuk M Nasir kepadanya.

“Sebenarnya sejak beberapa minggu ini, saya tidak fokus pun apa yang berlaku dalam media sosial kerana tugas dan jadual kami sebagai pelakon teater Mansur & Liu sangat padat.

“Jadi, lebih baik saya luangkan masa untuk fokus bagaimana saya mahu memperbaiki lagi watak saya sebagai Sultan Mansur,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, semalam.

Ditemui selepas pementasan yang berlangsung di Istana Budaya, bagaimanapun mengakui sukar untuk mengawal setiap pandangan negatif yang dilemparkan terhadapnya sebaliknya berusaha untuk memberi tumpuan terhadap perkara yang sepatutnya.

“Tidak mengapa kalau orang nak komen macam-macam mengenai saya sebab pada akhirnya, memang akan wujud pihak yang suka atau tidak.

“Fokus utama ketika ini ialah kerja untuk teater yang bermula hari ini sehingga 20 September depan.

“Ini kerja dan tanggungjawab yang sangat besar serta berat untuk saya galas. Selebihnya, saya tidak boleh nak kata apa-apa (mengenai dakwaan orang ramai),” jelasnya.

Aliff dan Melinda masing-masing menggalas watak utama sebagai Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu dalam Mansur & Liu yang jalan ceritanya diinspirasikan daripada Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.

Selain Aliff dan Melinda yang pertama kali berlakon di pentas teater, Mansur & Liu turut menampilkan barisan pelakon lain termasuk Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Hazama, Arena Wan dan Ruzana Ibrahim. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok