Kurangkan lemak melalui defisit kalori, senaman – Sazzy Falak

PELAKON dan pengacara, Sazzy Falak menegur tindakan sesetengah penjual produk pelangsingan yang mendakwa mampu membantu menurunkan berat badan dengan membuatkan pengguna lebih kerap membuang air.

Sazzy atau nama sebenarnya Sazlini Shamsul Falak, 45, berkata, pengambilan produk yang dikatakan membantu proses detoks atau membuatkan seseorang mudah ke tandas keesokan harinya tidak bermakna lemak dalam badan dapat dikurangkan tanpa menjaga pengambilan kalori serta bersenam.

“Produk yang kononnya membantu anda detoks atau membuatkan anda ke tandas pada keesokan harinya tidak akan membantu anda menurunkan berat badan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Cara untuk mengurangkan ukuran serta lemak adalah melalui defisit kalori dan paling penting melakulan latihan kekuatan.

“Lakukan sebanyak mana kardio yang anda mahu, tetapi mengangkat beban atau memaksa diri menolak dan menarik beban lebih berat adalah pilihan terbaik yang boleh anda lakukan untuk diri sendiri,” katanya menerusi hantaran di Threads.

Perkongsian tersebut dilakukan pelakon filem Golf & Gincu Vol. 2 itu dipercayai susulan isu promosi produk yang menandakan lemak tubuh sudah berkurangan.

Pada masa sama, pandangan Sazzy itu lebih menjurus kepada kepentingan pendekatan konsisten melalui pemakanan dan senaman berbanding bergantung sepenuhnya kepada produk yang mendakwa memberikan hasil segera.

Perkongsian tersebut turut meraih maklum balas ramai yang rata-rata bersetuju dengan pendapatnya bahawa menurunkan berat badan memerlukan usaha jitu.

“Saya bersenam untuk membina lebih banyak otot, bukan semata-mata untuk kurus. Bentuk badan yang cantik adalah bonus, manakala kesihatan patut dijadikan matlamat utama,” tulis seorang netizen. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok