“KALAU perempuan terhegeh-hegeh dan lelaki pula sambil lewa, jangan teruskan hubungan.”
Itu antara pesanan pelakon Diana Danielle yang berkongsi pandangan mengenai kepentingan mempunyai kesungguhan dalam meneruskan sesebuah hubungan cinta atau ikatan perkahwinan.
Menurut Diana, 36, setiap lelaki perlu berusaha mempertahankan sesebuah hubungan kerana akan berperanan sebagai pemimpin dalam rumah tangga.
“Dalam percintaan atau perkahwinan, lelaki itu wajib untuk benar-benar tunjuk dia inginkan hubungan tersebut.
Lelaki akan menjadi pemimpin. Kalau ketua sendiri pun sambil lewa, nak tak nak, apa pun tidak akan berkembang,” katanya dalam satu hantaran Threads.
Ujar ibu kepada dua cahaya mata itu, lelaki yang bakal menjadi pemimpin dalam rumah tangga perlu mempunyai pendirian bagi menjamin kelangsungan sesebuah perhubungan.
Lelaki itu kena bersemangat untuk mahu menjaga dan melindungi kalian. Jika dia benar-benar mencintai, dia akan menunjukkan perkara tersebut dengan jelas.
“Kamu tidak akan mampu untuk melupakannya pun. Kalau dia sendiri mengalah, hubungan itu sudah boleh dikatakan tidak wujud,” katanya lagi.
Dalam masa sama, dia mengakui emosi wanita mampu berubah dalam sekelip mata tetapi lelaki pula perlu mampu untuk menangani situasi itu.
“Perempuan, kejap itu, kejap merajuk dan kejap sayang. Tanya mana-mana perempuan pun, selalunya kita ini ibarat cuaca.
Tetapi lelaki pula seperti atmosfera yang memberi ruang untuk cuaca berdentum-dentam.
“Pastikan dia mahukan kalian dengan sepenuh hati dan bersungguh-sungguh. Jangan cuba membuktikan nilai diri kalian dan jangan bersaing atau mencari perhatian,” jelasnya. – HIBGLAM
