‘Dua kali Joey keluar BPR, saya anggap merajuk adik-beradik’

DUA tahun tidak berhubung sebaik Allahyarham Joey meninggalkan kumpulan Bumiputra Rockers (BPR), rakan seperjuangannya juga pemain gitar, Awang tetap mengenang persahabatan yang terpateri sejak zaman persekolahan.

Awang atau nama sebenarnya, Norzaini Mohammad, 63, berkata, hubungan mereka tidak pernah putus sebaliknya boleh diumpamakan sebagai merajuk adik-beradik selepas arwah memilih untuk bergerak sendiri buat kali kedua.

“Kami dah macam keluarga, malah kami kenal sebelum BPR ditubuhkan lagi kerana satu sekolah sejak tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Jaafar, Johor Bahru.

“Hubungan kami baik, cuma apa yang berlaku hanya dalam kumpulan disebabkan masing-masing ada pendirian. Kami pun sebenarnya tak pernah bergaduh besar,” katanya ketika dihubungi HibGlam.

Anggota BPR itu bersama rakan sekumpulan lain termasuk Yem Bai (gitar) serta Enal (dram) yang menetap di Johor dalam perjalanan ke Kuala Lumpur bagi memberi penghormatan terakhir buat arwah.

Kongsi Awang lagi, berita pemergian arwah itu hanya diketahui selepas dia terjaga dari tidur sejam selepas pemergian Joey iaitu sekitar pukul 9 pagi.

“Saya balik lewat malam selepas bekerja dan tidur sekitar pukul 3 atau 4 pagi bila sedar, saya dapat berita Joey sudah meninggal dunia. Memang terkejut.

“Sekarang (ketika dihubungi) kami masih dalam perjalanan dari Johor Bahru dan kini baru melepasi Kulai kerana kesesakan lalu lintas hari ini sangat teruk,” ujarnya

Bercerita mengenai keperibadian Allahyarham, akuinya Joey mudah memberikan kerjasama sepanjang hampir lima dekad mereka berada dalam satu kumpulan.

“Joey seorang yang sangat fleksibel dan kalau bekerjasama memang dia okey. Sepanjang kami bersatu tiada masalah,” ungkapnya.

Tambah pemuzik merangkap komposer itu, kali terakhir mereka membuat persembahan bersama Joey adalah tiga tahun lalu.

Tambahnya, perkara paling diingati mengenai Allahyarham adalah kelebihannyq menguasai pentas dan berinteraksi dengan penonton.

“Joey bagi saya mempunyai ‘stage presence’. Dia pandai kawal serta kuasai pentas. Bila membuat persembahan, dia tahu bagaimana mahu menjaga ‘crowd’.

“Itu kelebihan dia. Selain muzik, dia juga pandai bercakap. Dia memang seorang penghibur yang serba boleh serta bagus,” katanya.

Mengimbau kembali perjalanan Joey bersama BPR, Awang mendedahkan Allahyarham pernah dua kali meninggalkan kumpulan itu, namun perkara berkenaan tidak pernah dianggap sebagai permusuhan.

“Saya fikir mungkin satu hari nanti kami boleh bersatu semula. Memang ada perancangan, tetapi kami belum sempat buat keputusan. Selepas Joey keluar, dia terus senyap dan tidak menghubungi kami,” ulasnya

Dalam pada itu, Awang menjelaskan BPR terpaksa meneruskan perjuangan selepas Joey memilih untuk tidak lagi bersama kumpulan itu, termasuk mengambil penyanyi lain bagi memenuhi tuntutan persembahan.

“Bila dia tidak mahu lagi menyanyi dengan BPR, kami teruskan perjuangan dan ambil penyanyi agar dapat terus ‘survive’. Sebelum ini pun apabila buat persembahan di Johor, kami pernah ambil penyanyi lain.

“Apabila Joey buat keputusan tarik diri, kami hormat. Kalau dia mahu kembali, kami juga menanti dengan tangan yang sentiasa terbuka,” ujarnya.

Ditanya mengenai perkembangan kesihatan sahabatnya itu sebelum menghembuskan nafas terakhir, Awang mengakui tidak mengetahui sebarang masalah kesihatan yang dialami arwah, termasuk dakwaan mempunyai masalah jantung.

“Saya tidak tahu mengenai kesihatan dia. Setahu saya, dia tiada sakit jantung. Saya memang tidak pernah dengar mengenai perkara itu,” katanya.

Terdahulu, arwah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pukul 8.11 pagi tadi selepas rebah ketika membuat persembahan pada program Laman Santai di Istana Budaya malam tadi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok