Lebih 100 kenalan, keluarga hadiri majlis pengebumian Allahyarham Joey BPR

JENAZAH bekas vokalis kumpulan Bumiputra Rockers (BPR), Joey selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang, di sini, pukul 5.50 petang tadi.

Pengkebumian Joey atau nama sebenarnya, Johari Mat Rozekhi, 63, diiringi lebih 100 orang kenalan serta sanak saudara termasuk rakan selebriti.

Antara rakan artis yang hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Datuk M. Nasir, Datuk Hattan, Sahronizam, Safura Ya’cob, Rozita Rohaizat, Eddie Slam serta Datuk Aziz Bakar.

Begitupun, tiga anggota kumpulan BPR yang tinggal di Johor Bahru tidak sempat sampai ke Ampang berikutan tersangkut dalam kesesakan lalu lintas dalam perjalanan menziarah Allahyarham.

Sebelum itu urusan mandi serta solat jenazah yang diadakan selepas solat asar disempurnakan di Masjid Ukay Perdana.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 8.11 pagi tadi dan doktor mengesahkan berlaku pendarahan otak serta komplikasi jantung.

Isterinya, Zarinah Zainal, 60, yang ditemui Kosmo! Online memaklumkan suaminya rebah ketika menyampaikan lagu kedua pada program Laman Santai di Istana Budaya sekitar pukul 11 malam tadi.

Menyingkap sejarah pembabitan di arena muzik, anak jati Johor itu bersama rakan sekolahnya bergabung menjadi band rock atas inisiatif dilakukan Awang selalu pemain gitar.

Selain Joey serta Yem Bai (Abdul Rahim Mohd Zain) dan Ibrahim Musa (Yem C), mereka mendapatkan khidmat pemain dram, Enal ketika di Kuala Lumpur.

Sejarah perjuangan BPR bermula sebaik mereka bernaung di bawah syarikat milik kumpulan Blues Gang di bawah label Ito Productions dan terhasillah album pertama mereka berjudul Selamat Pagi Malaysia pada 1987.

Antara album yang menyusul selepas itu adalah Bisa diterbitkan Datuk M. Nasir, Kelab Jiwa Luka, Era 90’an, BPR ’97, Akustik & Unplugged serta Semangat Melayu.

Band legenda tersebut popular dengan deretan lagu yang masih menjadi siulan hingga ke hari ini termasuk Seribu Tahun Takkan Mungkin, Harum Subur Di Hati dan Dari Sinar Mata.

Begitupun, menurut Awang, Joey mengambil keputusan keluar daripada kumpulan terbabit bagi bergerak solo lebih dua tahun lalu. – HIBGLAM

ISTERI Allahyarham Joey, Zarinah Zainal (tudung hitam) menabur bunga mawar di pusara suaminya.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok