Pesta glamor bintang Hollywood di Oscars 2025

ANUGERAH Akademi ke-97 telah berlangsung dengan jayanya di Los Angeles, Amerika Syarikat pada pagi Isnin.

Ramai penggiat seni berkumpul bagi meraikan para karyawan yang diiktiraf dalam acara berprestij itu.

Apabila bercakap tentang majlis anugerah terutamanya melibatkan Hollywood, pastinya fesyen digayakan jemputan menjadi tumpuan ramai.

Di acara sebeginilah kita dapat lihat betapa glamornya para selebriti tatkala melewati karpet merah mahupun tampil di atas pentas Anugerah Akademi.

Hibglam senaraikan 10 fesyen selebriti yang mencuri tumpuan di Anugerah Akademi ke-97.

Ariana Grande

Antara calon terawal yang dilihat berjalan di acara karpet merah tahun ini. Calon Pelakon Pembantu Wanita Terbaik itu tampil memukau dalam balutan gaun kembang rekaan Schiaparelli sekali gus menyerlahkan aura bak puteri magika.

Demi Moore

Meskipun tewas di tangan Mikey Madison bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik, aktres berusia 63 ini tidak kalah dalam bergaya. Demi tampil anggun menggayakan gaun berwarna perak rekaan Armani Preve.

Halle Berry

Selebriti yang satu ini tidak pernah gagal dalam bergaya. Pernah menjadi sorotan dunia dua dekad lalu apabila menyarung busana Elie Saab saat meraih kemenangan pertamanya di Anugerah Akademi, kali ini Halle sekali lagi memukau dalam gaun berona metalik rekaan Christian Siriano.

Zoe Saldana

Pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik ini memilih gaun kemban berona merah hati yang dipadankan dengan sarung tangan hitam lutsinar rekaan Yves Saint Laurent

Mikey Madison

Sesuai dengan usianya yang baru 25 tahun, pemenang Pelakon Wanita Terbaik ini menyarung gaun rona merah jambu lembut dengan gandingan warna hitam rekaan rumah fesyen Dior.

Rambut disanggul menambah lagi keanggunan aktres yang sememangnya jelita itu.

Lupita Nyong’o

Dia sememangnya ratu karpet merah. Sejak debut pada2013, penampilan Lupita di acara karpet merah sentiasa dinantikan.

Tahun ini Lupita tampil bak bidadari dalam gaun kembang rona putih rekaan rumah fesyen Chanel.

Tan Sri Michelle Yeoh

Aktres kebanggaan Malaysia yang juga merupakan pemenang trofi Oscars ini tampil anggun dalam gaun berwarna biru diraja rekaan Balenciaga sekali gus membias aura muda lagi segar meski sudah berusia 63 tahun Itu.

Lisa Blackpink

Ibarat melawan arus, Lisa tampil dalam busana yang diinspirasikan daripada rekaan tuksedo daripada Mark Gong tatkala melewati karpet merah.

Biarpun menerima pelbagai pendapat mengenai penampilan uniknya, Lisa berjaya membuat orang bercakap tentang pilihan gayanya. Barangkali itu strategi bintang siri The White Lotus 3 yang pertama kali menghadiri Anugerah Akademi.

Cynthia Erivo

Dramatik! Itulah yang boleh disimpulkan tentang gaya pelakon filem Wicked ini tatkala muncul di acara karpet merah dalam gaun kembang rekaan Louis Vuitton. Turut mencuri tumpuan adalah hiasan kukunya yang unik.

Elle Fanning

Tampil menawan bak bidadari, aktres jelita ini menyarung busana gaun putih kembang dengan tambahan reben hitam rekaan rumah fesyen Givenchy. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok