Dikecam ejek jurubahasa, Mel Gibson mohon maaf

AKTOR Hollywood, Mel Gibson memohon maaf selepas dikecam kerana didakwa mengejek seorang jurubahasa bahasa isyarat American Sign Language (ASL) ketika sesi soal jawab dalam program FanExpo Canada, di Toronto, minggu lalu.

Menerusi video tular dalam media sosial, aktor berusia 70 tahun itu dilihat berjalan ke pentas di belakang seorang jurubahasa sebelum membuat beberapa gerakan tangan yang dianggap menyerupai pergerakan jurubahasa terbabit ketika menterjemahkan bahasa isyarat.

Tindakan tersebut mengundang kecaman hebat, dia disifatkan tidak menghormati jurubahasa serta komuniti tuli secara keseluruhan.

Lebih teruk, pengguna media sosial turut mendesak penganjur FanExpo Canada memohon maaf secara rasmi kepada jurubahasa dan komuniti berkenaan.

Gibson kemudian tampil menjernihkan keadaan menerusi kenyataan rasmi dan mengakui tindakannya berlaku secara spontan tanpa niat menyakiti mana-mana pihak.

“Kadang-kadang apabila anda didorong naik ke atas pentas di bawah sorotan lampu, fikiran ke mana-mana. Kebodohan spontan tanpa berfikir boleh sahaja muncul pada bila-bila masa.

“Tiada niat jahat di sebaliknya dan saya meminta maaf kepada sesiapa yang berasa terganggu disebabkan insiden tersebut,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok