EMPAT tahun berlalu, pelawak dan pelakon, Chris Rock memilih untuk kekal tenang ketika mengulas semula insiden ditampar rakan seperjuangannya, Will Smith pada majlis Anugerah Akademi atau Oscar 2022.
Menerusi wawancara bersama majalah Variety, dia berharap kejadian kontroversi itu tidak pernah berlaku malah enggan hal terbabit menjadi tumpuan ketika dunia berdepan pelbagai isu lebih serius.
Pada masa sama, Rock, 61, enggan membiarkan kisah berkenaan mengalihkan perhatian ramai daripada filem baharunya, Misty Green, terutama lakonan Rosalind Eleazar yang dianggap sangat cemerlang.
“Saya tidak ingin mengatakan sesuatu yang membuat perhatian ramai beralih daripada Rosalind kerana dia sangat bagus dalam filem ini,” katanya.
Menurut Rock, kejadian yang menimpanya pada malam Oscar berkenaan bukanlah sesuatu
yang perlu dibesar-besarkan atau wajar diungkit.
“Dunia ini gila. Ada pelbagai perkara berlaku sekarang. Saya alami hari buruk, tetapi itu bukan
perkara terbesar,” katanya dalam satu wawancara.
Insiden yang menjadi bualan peminat itu berlaku ketika Rock mengendalikan Oscar musim 2022 sebelum Smith naik ke pentas dan menamparnya selepas komedian itu membuat jenaka mengenai kepala botak Jada Pinkett Smith. – HIBGLAM

