Tidak kejar popular, menyanyi sebab minat – Nanad

BAGAI cendawan tumbuh selepas hujan, begitu juga lambakan penyanyi baharu dalam industri muzik tanah air. 

Namun, dalam lautan wajah baharu, tidak semua hadir dengan pakej lengkap. Ada yang hanya bersandarkan rupa tanpa kualiti vokal seiring.

Berbeza dengan Nanad, dia penyanyi yang hadir bukan sekadar untuk mengisi ruang kosong, tetapi bersedia mencorak legasi sendiri. 

Pemilik nama penuh Nadiatul Syahirah Seman itu tampil dengan single sulung, Setia Mencintaimu, karya komposer ternama Zul 2by2.

Biarpun melangkah ke dalam industri pada usia 37 tahun, wanita jelita itu kekal optimis dan percaya kepada rezeki serta aturan takdir.

“Saya akui, saya bermula memang lewat, siapa kata tak lambat? Tapi kena positif. Tengok saja contoh artis lain seperti Marsha dan Shiha, mereka pun bermula lambat, tapi tetap cemerlang.

“Menyanyi ni bukan sebab nak kejar populariti sangat. Saya minat dan menyanyi adalah cara saya luahkan perasaan. Jadi, saya terima perjalanan ini dengan hati terbuka,” katanya kepada HibGlam.

Menurut Nanad, peluang merakamkan lagu datang tanpa diduga apabila komposer Zul 2by2 menawarkan dua buah lagu kepadanya.

Pun begitu, dia tertarik dengan lagu Setia Mencintaimu kerana terpukau dek setiap bait lirik menggambarkan perasaan seorang wanita yang ingin dihargai dan menyayangi sepenuh hati.

Lebih manis, Setia Mencintaimu ciptaan Aiman, lirik Anje Maya, serta diterbitkan oleh Zul 2by2, yang sebelum ini pernah menghasilkan lagu-lagu hebat termasuk nyanyian Indah Ruhaila yang pernah bersaing di Anugerah Juara Lagu (AJL).

“Syukur, abang Zul pilih saya. Sebenarnya ada dua lagu, tapi bila dengar lagu Setia Mencintaimu, rasa terus jatuh cinta. Saya cakap, ‘Abang Zul, saya nak lagu ni!.

“Liriknya seolah-olah tentang saya sendiri, tajuk lagu pun dekat dengan saya. Sebagai perempuan, kita suka rasa dihargai.  Proses rakaman pun saya terlibat secara langsung sebab nak pastikan lagu ni sampai ke jiwa pendengar.

“Saya sampai ke hari ini penuh rasa syukur dan teruja,  siapa tak teruja bila komposer besar nak bagi lagu? Dia pernah buat lagu-lagu hebat, jadi saya tahu kena buat betul-betul,” dedahnya.

Mengangkat genre balada sebagai permulaan, auditor percukaian itu percaya lagu bernuansa cinta sentiasa memiliki tempat dalam hati pendengar.

“Balada ni lebih dekat dengan jiwa, lebih beremosi. Lagu saya ni bukan tentang patah hati, tapi tentang kasih sayang dan dihargai.

“Saya percaya lagu bergenre sebegini bakal meruntun banyak emosi pendengar. Rezeki juga, tak sangka lagu pertama dah dijadikan OST. Saya anggap ini petanda baik untuk permulaan kerjaya.

“Saya mahu muzik Malaysia kembali gah, setanding lagu-lagu Indonesia yang sering mendominasi pasaran,” tuturnya.

Lagu Setia Mencintaimu kini sudah boleh distrim di semua platform digital dan video muzik rasmi pula boleh ditonton dalam  YouTube Warner Music Malaysia.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok