Saya tak perlukan validasi kalian – Ernie Zakri

PENYANYI Ernie Zakri tidak terlepas daripada berasa penat untuk membuktikan kemampuan diri sendiri yang adakalanya menampakkan segala usaha yang diberima masih dianggap tidak mencukupi oleh segelintir pihak.

Menurut Ernie, perkara tersebut dirasainya apabila pencapaiannya juga turut dipertikai oleh pihak tertentu sehingga membuatkan dirinya bingung bagi terus membuktikan keupayaan diri pada mata orang lain.

“Kadangkala saya penat untuk berkarya, bukan kerana tiada apa lagi untuk diberikan tetapi kerana ada pihak merasakan masih belum cukup meski sudah mencurahkan sepenuh hati dalam karya seni sendiri.

Walaupun pencapaian kecil pun turut dinilai dan dipersoalkan. Kadangkala saya tertanya-tanya, sebenarnya apa yang dikatakan cukup itu?

“Saya tahu orang akan sentiasa bercakap tentang perkara yang mereka lihat, membuat andaian dan adakalaya benda yang mereka sendiri tidak tahu namun saya sudah berdamai dengan situasi begitu,” katanya dalam satu hantaran Threads semalam.

Katanya, orang ramai seharusnya belajar untuk lebih berhati-hati dalam bersuara terhadap perkara yang mereka pilih agar tidak terlihat seperti memperkecilkan usaha keras orang lain.

“Tetapi saya berharap kita belajar untuk lebih berlembut terhadap perkara yang kita pilih terutama memperkecilkan sesuatu dalam pandangan orang lain.

“Kalian hanya melihat lagu itu, tetapi tak nampak seseorang yang tak tidur. Kalian juga melihat pentas, tetapi tidak dipertontonkan perjalanan dan usaha selama bertahun-tahun untuk berdiri di situ.

“Kalian melihat pencapai tetapi tak nampak insan yang perlu yakinkan dirinya sendiri untuk sampai ke tahap itu,” jelasnya.

Tambah Ernie, dia memberi bayangkan untuk tidak lagi melakukan sesuatu bagi memuaskan hati mana-mana pihak.

“Mungkin saya akan berhenti cuba membuktikan bahawa semuanya sudah cukup sebaliknya hanya akan terus berkarya.

Jika kemenangan kecil saya pun masih terasa kurang besar bagi kalian, mungkin masalah itu bukan terletak pada sebesar pencapaian saya,” katanya lagi.

Dia bagaimanapun menegaskan tidak akan sesekali menghentikan langkahnya dalam dunia seni sebaliknya mengingatkan dirinya tidak lagi memerlukan validasi orang lain.

“Saya tak perlukan validasi kalian, baca sampai habis. Bukan nak berhenti dan jauh lagi perjalanan,” tuturnya lagi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok