PENYANYI Najwa Latiff terharu apabila lagu ikoniknya, Cinta Muka Buku masih menjadi siulan ramai termasuk dalam kalangan generasi muda sehingga hari ini.
Menurut Najwa atau nama sebenarnya Imratul Najwa Abdul Latif, 31, dia berasa sangat gembira setiap kali melihat sambutan dan penerimaan ramai setiap kali menyanyikan lagu yang pernah berjaya ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-26 itu.
“Saya sangat-sangat gembira nyanyi lagu itu. Penerimaan orang hari ini juga menyeronokkan dan tenaga mereka sangat berbeza.
“Sekarang ini, mereka sangat menyokong dan gembira menyanyikan lagu itu. Terharu yang adakalanya hampir buat saya menangis melihat masih ramai menghargai Cinta Muka Buku.
“Malah, saya tak pernah rasa kekok menyanyikannya walaupun usianya sudah 15 tahun, itu punca rezeki saya sampai sekarang,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Mengulas sama ada mempunyai perancangan menghasilkan semula Cinta Muka Buku, dia tidak terfikir untuk melakukannya kerana terlalu banyak momen manis yang diraih dengan versi asal.
“Buat masa ini tak ada perancangan dan akan menyanyikan lagu itu mengikut versi asal sahaja. Saya akan teruskan dengan semua yang kita sudah lakukan sejak dulu.
“Apapun paling seronok melihat ada golongan muda dan kanak-kanak menyanyi lagu-lagu saya. Ada juga tempat saya lihat golongan mak ayah yang sangat teruja untuk nyanyi,” ujarnya.
Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dengkil itu tidak pernah memperkenal dirinya sebagai penyanyi kepada pelajar-pelajarnya.
“Ada pelajar yang tahu tetapi saya tak pernah tanya sama ada mereka tahu saya penyanyi. Kalau kenal, alhamdulillah.
“Kalau dalam kelas, saya ialah Miss Najwa, itu saja. Cukup mereka kenal saya sebagai pensyarah.
“Secara asas, saya memang letak batas dengan pelajar untuk ada rasa hormat. Batas di dalam dan luar kelas berbeza,” kongsi pensyarah jurusan Bahasa Inggeris itu. – HIBGLAM
