ADA nama yang mungkin tenggelam dalam timbunan memori, ada juga yang terlalu kuat melekat hanya selintas istilah sehingga cukup sukar untuk terpadam.
Begitulah perjalanan Maria Tunku Sabri apabila namanya masih sering disambut dengan jeritan Jalan Jalan Cari Makan (JJCM) daripada khalayak biarpun sudah begitu banyak program televisyen pernah dikendalikannya.
Bertahun-tahun menghiasi televisyen dengan membawa penonton mengenali pelbagai juadah dari ceruk kampung hingga ke segenap penjuru kota, Maria ternyata berjaya dalam liganya sendiri.
Meski pernah mengemudi program Nona, Wanita Hari Ini, Malaysia Hari Ini, malah penyampai Buletin Utama, namun imej JJCM tetap yang paling utuh dalam ingatan masyarakat.
“Penat nak senaraikan program yang saya kemudi tapi yang diingat JJCM saja. Ya Allah sakitnya jiwa dan kecilnya hati ini,” kata dalam nada seloroh membuka bicara kepada HibGlam.
Tidak menganggap perkara tersebut sebagai negatif, dia akui tidak mampu lari daripada gelaran ‘Maria JJCM’ yang sudah sebati dengan dirinya sepanjang mengacarakan program tersebut selama sembilan tahun.
“Itu yang melekat, mak cik-mak cik tak panggil nama saya tetapi jerit ‘Jalan Jalan Cari Makan nak bergambar!’.
“Saya cakap, ‘mak cik, itu bukan nama saya tetapi nama program.’
“Macam-macam ragam tetapi mereka kelakar dan sangat seronok,” kata wanita berusia 56 tahun itu.

SEPANJANG menjadi hos JJCM, antara perkara paling disyukuri Maria adalah layanan baik dan makanan sedap-sedap percuma, satu nikmat yang tidak dirasai banyak orang.
Pengalaman mengendalikan JJCM bukan sahaja memberi peluang meneroka pelbagai lokasi menarik, malah membolehkannya menikmati aneka hidangan tanpa limit.
“Saya seorang ‘foodie’ dan suka makan. Setiap kali cuba juadah baharu, saya selalu terfikir dan syukur, ‘ya Allah, nikmatnya aku dapat makan percuma, orang lain tak dapat merasa begini’.
“Kemudian dapat cuba makanan mewah, gerai sehinggalah level ‘kayangan’, semuanya percuma. Kalau nasib baik, dapat ‘tapau’ sekali untuk keluarga. Itu semua rezeki yang Tuhan beri sepanjang kendali JJCM, sangat luar biasa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Maria berkata, program berkenaan turut memberi impak besar kepada setiap restoran yang dilawati kerana pasti akan menjadi tumpuan orang ramai.
“Saya seronok sebab dapat bantu banyak restoran jana pendapatan. Selalunya lepas disiarkan, memang orang akan serbu, beratur dan ‘full house’!
“Setahu saya, ketika zaman JJCM, saya berjaya catat rating tertinggi. Ini hakikat sebab dapat surat daripada pihak pengurusan yang ucap tahniah kerana berjaya membuatkan program itu raih jumlah jutaan tontonan,” jelasnya.
Bagi memastikan pelanggan tidak berasa tertipu, dia mengamalkan sikap tegas terhadap pemilik restoran agar tidak berlebih-lebihan dalam proses penyediaan dan dekorasi makanan yang hendak dipromosi.
Dia juga turut mengingatkan setiap restoran supaya sediakan bahan-bahan makanan 200 peratus setiap kali selepas disiarkan JJCM kerana enggan menerima aduan makanan tidak mencukupi.
“Kemudian saya tegaskan jangan buat lebih daripada yang sepatutnya. Contohnya, kalau saya punya asam pedas tiada bunga kantan, jangan letak langsung ketika penggambaran.
“Kalau tidak nanti orang akan mengadu kenapa Maria Tunku Sabri datang asam pedas dia ada hiasan bunga kantan tetapi mereka tiada sebab selalunya pelanggan mahu benda sama apa yang mereka lihat.
“Kalau minuman tiada payung, jangan pandai-pandai nak letak payung sedangkan hanya air jus tembikai ‘bodoh’ saja,” ujarnya.
Maria turut mengakui dirinya sangat tegas ketika menilai makanan yang mahu diketengahkan menerusi program berkenaan.
“Saya sangat tegas dalam menilai makanan. Kalau tak sedap, saya cakap terus-terang kepada pemilik restoran.
“Saya tak ada nak berahsia sebab tidak suka nama sendiri busuk kerana pelanggan rasa tertipu,” kongsinya.
Pelapis
Usai kisah JJCM, dia sempat mengulas mengenai hos generasi muda yang kini rancak menyerikan dunia pengacaraan tanah air.
Dia berkali-kali mengingatkan agar setiap pengacara sentiasa mencari ilmu dan memenuhkan dada dengan ilmu informasi agar tidak dilabel hos otak udang.
“Senior-senior dalam bidang ini selalu pesan, kalau nak jadi pengacara sama ada untuk program televisyen atau majlis, otak tak boleh kosong.
“Wajib buat ‘homework’ dan kajian mengenai sesetengah isu. Kalau jadi pengacara televisyen, kita tak boleh nampak bengong, ketika bersiaran langsung.
“Persiapannya, siapkan soalan sehari sebelum. Mungkin ada topik yang berat tetapi sekurang-kurangnya kita tahu asas,” tuturnya.

SELEPAS muncul dalam Kilauan Emas Selebriti, Maria menyimpan impian menjadi penyanyi dan menjadikan Vida dan Alif Shukri sebagai rujukan.
Dalam pada itu, dia mengakui untuk kekal relevan dalam bidang tersebut bukan satu perkara mudah ditambah pula dengan kehadiran generasi baru bersilih ganti.
“Dahulu pengacara adalah 100 peratus pengacara yang diajar dan dididik daripada A hingga Z, bermula sebagai seorang wartawan biasa kepada pengacara.
“Pesan saya, sentiasa berpijak di bumi yang nyata, jaga disiplin, jangan tunjuk pandai sedangkan kurang ilmu, hormat orang dan rajin bertanya untuk dapatkan ilmu daripada senior.
“Semua itu penting sebab bila-bila masa saja Tuhan boleh ambil semula nikmat populariti termasuk syarikat boleh tukar atau buang dari program,” ujarnya.
Penyanyi, pelawak
Dalam perkembangan lain, Maria kini dalam fasa mencuba sesuatu di luar kotak, termasuk menyertai Kilauan Emas Selebriti 2026 (KES26).
“Sekarang saya nak buat benda yang diluar jangka, nak cabar diri dalam segala hal.
“Selepas KES26, saya rasa nak teruskan jadi penyanyi, nak keluar dengan lagu raya tahun depan dan akan mula mencari komposer untuk bekerjasama.
“Kalau Datuk Seri Vida dan Datuk Aliff Syukri yang suara ke laut pun boleh buat lagu raya hingga viral, saya yakin boleh,” katanya lagi.
Selain nyanyian, ibu kepada dua cahaya mata itu juga menyimpan hasrat mencuba program komedi.
“Saya suka melawak, kalau ada program memang nak masuk.
“Pengacara, pelakon dan penyanyi, semua itu saya sudah buat, tinggal nak melawak saja, kemudian lengkap jadi selebriti versatil.
“Sebelum masuk tujuh kaki bawah tanah, lebih baik kita cuba semua. Jangan mati dalam penyesalan.
“Biarlah ramai orang cakap saya gila kuasa, tidak mengapa. Asalkan saya merasa puas hati dan dapat apa yang diingini,” kata Maria mengakhiri perbualan. – HIBGLAM
