PELAKON, Elfira Loy berkongsi khabar duka pemergian ibunya, Filzah Yusoff yang menghembuskan nafas terakhir, hari ini.
Elfira atau nama sebenar, Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 32, berkata, jenazah arwah ibunya akan dibawa ke Masjid Al Mukhlisin, Alam Damai, Cheras.
“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Dengan penuh dukacita, saya ingin memaklumkan bahawa ibu saya, Filzah Yusoff, telah kembali ke rahmatullah pada hari ini.
“Jenazah arwah sedang diuruskan dan akan dibawa ke Masjid Al Mukhlisin Alam Damai. Waktu solat jenazah dan pengebumian akan dimaklumkan kemudian,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.
Menerusi perkongsian sama, Elfira turut meminta orang ramai mendoakan agar Allah SWT mengampuni dosa insan kesayangannya itu, selain ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman.
“Mohon sedekahkan al-Fatihah dan doakan agar Allah SWT mengampuni segala dosa arwah, menerima amal ibadatnya, melapangkan serta menerangi kuburnya dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.
“Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan dan kesabaran buat seluruh keluarga. Amin ya Rabbal ‘alamin,” tulisnya.
Pada 6 Ogos lalu, pelakon drama Qalisya itu memaklumkan ibunya yang berusia 61 tahun itu dijadualkan menjalani satu prosedur perubatan berisiko tinggi.
Bagaimanapun, Elfira tidak mendedahkan secara terperinci mengenai tahap kesihatan ibunya, sebaliknya memohon orang ramai mendoakan agar prosedur itu berjalan lancar.
Difahamkan, ibunya itu kritikal serta terpaksa ditidurkan berikutan penyakitnya, manakala prosedur intubasi itu dijalankan di sebuah hospital. – HIBGLAM
