SELEPAS lima bulan meninggalkan pentas Malaysia, penyanyi Indonesia Fabio Asher kembali membawa khabar gembira buat peminat tempatan.
Kali ini, dia mahu mengajak mereka menyusuri lorong emosi lebih panjang menerusi Fabio Asher: The Romanticist Live in Kuala Lumpur, sebuah persembahan sarat nuansa cinta, kerinduan, patah hati, kenangan dan proses menemukan semula kekuatan diri.
Fabio bakal beraksi di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada 22 November depan malah konsert anjuran Cerita Project & Events Sdn. Bhd. tersebut hadir dengan pendekatan berbeza, terutama menerusi susunan muzik baharu serta iringan orkestra lebih besar.
Menurut pemilik nama sebenar Fabio Fukrer Towoli itu , sebahagian karya popularnya akan diberikan nafas baharu menerusi susunan muzik berkonsepkan orkestra, namun persembahan tetap dibahagikan kepada tiga segmen dengan pendekatan berbeza.
“Sebenarnya bukan semua lagu akan menggunakan konsep orkestra. Konsert ini dibahagikan kepada tiga segmen dan setiap segmen mempunyai konsep tersendiri.
“Saya memilih orkestra kerana mahu memberikan sesuatu berbeza kepada pendengar serta penonton yang sudah berulang kali hadir ke konsert saya.
“Bukan kerana takut mereka bosan, tetapi saya mahu memberikan susunan muzik baharu. Dengan konsep orkestra, saya yakin kelainan ini mampu memberikan pengalaman berbeza kepada penonton,” katanya kepada HibGlam.
Enggan membiarkan persembahan hanyut dalam nostalgia semata-mata, jejaka berusia 33 tahun itu mengakui dirinya terlibat rapat dalam proses penyusunan dan penerbitan muzik supaya setiap lagu mempunyai identiti tersendiri apabila diterjemahkan di atas pentas.
“Saya bekerja rapat dengan pasukan bagi memastikan apa yang dipersembahkan nanti benar-benar istimewa.
“Saya yakin lagu-lagu saya boleh diberikan pelbagai susunan muzik. Dengan orkestra, persembahan akan terasa lebih megah, namun pada masa sama suasana intim masih dikekalkan,” ujarnya,
Lebih menarik, bekas peserta X Factor Indonesia musim ketiga itu tidak menafikan pengalaman daripada persembahan terdahulu turut menjadi pencetus kepada perubahan kali ini.
“Saya turut memainkan peranan penting dalam menyusun konsep persembahan solo ini supaya tampil berbeza daripada biasa.
“Cabaran itu pasti ada, namun saya berharap penonton tidak bosan dengan persembahan serta lagu-lagu yang dibawakan kelak.
“Sebelum ini ada peminat kurang berpuas hati kerana saya hanya menyampaikan 12 lagu, jadi kali ini saya mahu memberikan persembahan lebih lengkap,” kongsinya.
Bukan itu sahaja, anak jati Kotamobagu, Sulawesi Utara itu turut menyimpan kejutan buat peminat menerusi sebuah lagu baharu, dijangka dilancarkan pada Oktober ini.
Menariknya, karya tersebut tercetus daripada kisah seorang peminat wanita dari Malaysia.
“Saya pasti akan membawakan lagu baharu. Lagu itu bakal dilancarkan pada Oktober dan sejujurnya, karya tersebut diinspirasikan daripada peminat Malaysia.
“Saya sering membaca mesej peribadi daripada peminat. Ada seorang peminat wanita berkongsi kisah dia sedang rapat dengan seorang lelaki, tetapi mereka tidak tahu apakah status hubungan tersebut.
“Dia tertanya-tanya, ‘sebenarnya hubungan kami ini apa?’ Daripada perkataan ‘apa’ itulah akhirnya tercetus idea menghasilkan sebuah lagu baharu,” luahnya.
Sementara itu, pihak penganjur, Cerita Project & Events Sdn. Bhd. menyifatkan Fabio sebagai pelaku seni istimewa kerana mampu menterjemahkan pengalaman peribadi menjadi karya romantis tanpa berlebihan, sekali gus dekat dengan jiwa pendengar variasi latar kehidupan.
“Fabio mempunyai keistimewaan dalam menterjemahkan perasaan peribadi menjadi lagu yang dekat dengan hati pendengar, walaupun setiap orang melalui pengalaman serta fasa cinta berbeza.
“Kami mahu membawa penonton melalui perjalanan emosi daripada jatuh cinta, kerinduan, patah hati, kenangan dan rasa tidak pasti sehinggalah proses menerima serta penyembuhan.
“Setiap lagu mewakili satu babak dalam perjalanan cinta, sekali gus membolehkan penonton menghayati emosi di sebalik muzik sambil mengimbas kembali kisah mereka sendiri,” ungkap wakil penganjur.
Kesemua tiket boleh dibeli secara dalam talian menerusi Ilasso Tickets dan jualan sudah pun bermula sejak 4 September lalu. – HIBGLAM
