‘Kamu ialah anak pertama, gadis kecil saya impikan’

MESKI hubungan masih dingin, penyanyi Nourul Depp mengundang sebak ramai apabila menitipkan ucapan sempena ulang tahun kelahiran ke-28 anak sulungnya, Ayu Nazirah semalam.

Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Abdul Wahab, 48, menyifatkan kelahiran Ayu yang merupakan hasil perkongsian hidup dengan bekas suami, Ajai sebagai salah satu nikmat terbesar dalam hidupnya.

“Ketika melahirkan kamu, saya baru berusia 21 tahun, masih muda dan belajar tetapi memiliki kamu adalah nikmat terbesar dalam hidup.

“Kamu ialah anak pertama, gadis kecil yang saya impikan. Kita membesar bersama melalui begitu banyak fasa kehidupan.

“Pada waktu kamu berusia 28 tahun, doa saya hanya berharap kamu menjadi lebih matang, bukan sekadar bertambah usia,” katanya dalam satu hantaran Threads.

Titipnya kepada Ayu lagi, timba setiap ilmu dan pengalaman dalam hidup untuk mengenal diri sendiri dengan lebih baik.

Nourul juga sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anaknya meski ketika ini hubungan mereka tidak serapat dulu.

Adakalanya saya mungkin tidak faham setiap pilihan yang kamu buat tetapi saya meraikan hari kamu hadir dalam hidup.

“Selamat ulang tahun kelahiran. Semoga tahun ini membawa ketenangan dan sentiasa ingat bahawa menjadi ibu kamu adalah nikmat terbesar dalam hidup saya.

“Sudah tiada air mata kerana telah melepaskan, Allah SWT ada. Serahkan pada-Nya kerana Dia ada cara mengajar dan membesarkan kita, doakan yang baik-baik,” katanya lagi.

Terdahulu, meskipun pelbagai usaha dilakukan bagi menjernihkan keadaan, Nourul mengakui hubungan dinginnya dengan Ayu masih belum menemui jalan perdamaian.

Menyifatkan konflik tersebut sebagai sesuatu yang sangat melukakan, dia mendakwa kewujudan pihak luar yang cuba mencampuri urusan keluarga mereka menjadi punca utama hubungan tersebut terus renggang.

Ayu merupakan zuriatnya bersama Ajai, namun mereka berpisah pada 2007 dan lima tahun kemudian penyanyi itu bertemu jodoh pula dengan warga Perancis, Eric Daniel Depp.

Menerusi perkahwinan kedua, kehidupan Nourul diserikan tiga cahaya mata, Zachary Depp, 13, Raphael Depp, 11, dan Isabella Depp, tujuh tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok