Sarawak jadi gelanggang cabaran AXN Ultimate Challenge

KEUNIKAN budaya, alam semula jadi dan kehidupan komuniti Sarawak bakal diketengahkan menerusi siri realiti pengembaraan terbaharu, AXN Ultimate Challenge: Sarawak, hasil kerjasama strategik KC Global Media Asia, AXN Asia dan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB).

Diterbitkan oleh KCGM Studios, siri empat episod berdurasi 15 minit itu menggabungkan cabaran fizikal dan mental, penerokaan budaya serta penceritaan digital bagi memberi gambaran berbeza mengenai Sarawak sebagai destinasi pelancongan.

Siri berkenaan menampilkan dua pasukan pencipta kandungan yang perlu berdepan pelbagai cabaran diinspirasikan daripada landskap semula jadi dan warisan budaya negeri tersebut.

Selain menguji kemahiran, daya tahan dan semangat berpasukan, peserta turut diberi peluang menyelami kehidupan komuniti tempatan, merasai pengalaman budaya unik serta meneroka lokasi yang jarang dipaparkan di kaca televisyen.

Antara tema yang diketengahkan termasuk semangat komuniti, penerokaan, ekopelancongan dan tradisi yang sekali gus memberikan perspektif baharu terhadap kepelbagaian Sarawak.

Lebih menarik, peserta turut menghasilkan kandungan sendiri sepanjang pengembaraan itu bagi memberikan gambaran lebih autentik menerusi perspektif peribadi masing-masing.

Antara cabaran yang diketengahkan termasuk pengalaman mencari ulat sagu, makanan tradisional yang turut menjadi sumber protein penting kepada masyarakat tempatan, selain ganjaran dan penalti yang menanti peserta.

Siri berkenaan turut menampilkan pengacara Mark O’Dea, selain pencipta kandungan Khenji Saito & Adam Manuel serta Estelle Fly & Saffron Sharpe.

Beberapa personaliti tempatan turut terlibat bagi menghidupkan elemen budaya dalam siri itu, antaranya Chef Achang Libat, Louis Samai, Luke Kenny Doo serta pakar seni sumpit, Cikgu Nyoging dan Alfa.

Hotel Sheraton Kuching pula dinamakan sebagai penaja hotel rasmi bagi siri berkenaan.

Menurut Pengasas Bersama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KC Global Media, George Chien, kerjasama berkenaan membolehkan pihaknya menghasilkan kandungan asli yang mengetengahkan budaya, masyarakat dan semangat pengembaraan Sarawak.

AXN Ultimate Challenge: Sarawak merupakan hasil usaha pasukan kami dalam menghasilkan sebuah pengembaraan imersif yang mengetengahkan budaya, masyarakat dan semangat pengembaraan Sarawak sebagai nadi penceritaannya.

“Kami berharap siri ini dapat memberi inspirasi kepada penonton di seluruh dunia untuk merasai sendiri keunikan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak, Dr. Sharzede Datu Haji Salleh Askor berkata, Sarawak menawarkan gabungan pengembaraan, budaya dan alam semula jadi menerusi pengalaman autentik yang berakar umbi daripada landskap serta kehidupan masyarakatnya.

AXN Ultimate Challenge: Sarawak menawarkan kepada penonton cara yang menarik untuk menerokai kepelbagaian tersebut, daripada cabaran yang diinspirasikan oleh keindahan alam semula jadi sehinggalah pengalaman budaya dan kisah tempatan yang menjadikan setiap perjalanan di sini begitu istimewa.

Kami berharap siri ini dapat memberi inspirasi kepada penonton di seluruh rantau ini untuk mengunjungi dan menikmati sendiri keunikan Sarawak, Malaysia,” katanya.

AXN Ultimate Challenge: Sarawak boleh ditonton menerusi saluran YouTube AXN Asia dan AXN Taiwan, selain disiarkan di AXN East Asia, AXN Singapore dan AXN China setiap Selasa, pukul 9.30 malam (GMT+8), selama empat minggu berturut-turut.

Tayangan ulangan pula dijadualkan setiap Khamis pada pukul 8.35 malam dan Ahad pada pukul 8.45 malam. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok