DIISYTIHAR individu ketiga terkaya di Indonesia, pelakon Raffi Ahmad dilaporkan memiliki kekayaan sebanyak 1.03 trillion Rupiah yang bersamaan RM282 juta.
Laporan tersebut didedahkan Suruhanjaya Pembasmian Rasuan (KPK) Indonesia selepas pemilik nama lengkap Raffi Farid Ahmad, 38, mengisytiharkan hartanya.
Difahamkan, kekayaan pelakon filem Rumput Tetangga itu terdiri daripada 45 bidang tanah dan memiliki bangunan di seluruh Indonesia yang dianggarkan bernilai 737 billion Rupiah (RM200 juta).
Aset-aset berkenaan berada di beberapa kawasan Indonesia seperti Jakarta, Depok, Tangerang, Bali, Bandung dan Makassar.
Malah, aktor itu turut memiliki 23 buah kereta dan motosikal mewah yang dianggarkan bernilai 55 billion Rupiah (RM14 juta).
Antara koleksi kereta anak jati Bandung, Indonesia itu adalah Rolss Royce Phantom, Ferrari F8 Spider, Dodge SRT Hellcat, Lamborghini Aventador LP700, Morgan Plus Six, Porsche Bettle 1303 dan 17 kenderaan lain.
Bukan itu sahaja, Raffi turut mempunyai aset harta bergerak lain yang bernilai Rp 46.7 bilion bersamaan RM13 juta. Selain itu, turut memiliki aset dalam bentuk sekuriti (surat berharga) yang bernilai Rp 307 bilion (RM84 juta), tunai dan setara tunai 5.3 bilion Rupiah (RM1.4 juta).
Bahkan, hampir kesemua aset terbabit dipercayai diperoleh suami kepada pelakon Nagita Slavina itu sebelum menyertai dunia politik.
Jumlah kekayaan Raffi tidak mengejutkan kerana dia sudah lama berkarier dalam dunia hiburan selain memiliki pelbagai perniagaan.
Bagaimanapun, Raffi mempunyai hutang yang masih belum dilangsaikan sebanyak 136 billion Rupiah atau RM37 juta. – HIBGLAM