MENGHITUNG hari sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan, pelakon dan penyanyi, Bella Astillah bersama tunangnya, Syed Saddiq sekali lagi bertemu bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah bagi mendapatkan nasihat tentang rumah tangga.
Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, berkata, dia ingin mengetahui rahsia negarawan itu mampu mengekalkan keutuhan hubungan lebih 70 tahun, sekali gus menjadikan mereka contoh pasangan serasi.
“Hari ini saya dapat sesuatu yang saya rasa tidak mungkin boleh dapat di luar sana. Saya dan tunang saya, Syed Saddiq, berpeluang bertemu Tun M dan Tun Hasmah.
“Antara perkara yang paling saya ingin tahu adalah bagaimana sebuah hubungan dan rumah tangga boleh kekal utuh selepas lebih 70 tahun bersama,” katanya menerusi perkongsian di Threads.
Lebih 70 tahun, rumah tangga kekal utuh – Bella, Syed sadiq korek rahsia Tun M, Tun Hasmah
Bella mengakui hatinya tersentuh ketika melihat pasangan berkenaan duduk bersebelahan selepas berdekad melalui pelbagai cabaran dan pengalaman kehidupan bersama.
“Kita selalu bercakap mengenai jatuh cinta, tentang hari bahagia dan permulaan sebuah kehidupan bersama. Tetapi jarang bercerita tentang cara untuk terus mencintai orang sama apabila tahun demi tahun berlalu.
“Apabila kita berubah, usia juga bertambah, kehidupan menguji dan dunia di sekeliling kita tidak lagi sama,” ujarnya.
Bella turut membayangkan banyak suka duka, kesabaran, toleransi, kemaafan dan persefahaman yang diperlukan untuk membina hubungan sehingga mampu bertahan lama.
“Lebih 70 tahun, bayangkan berapa banyak suka duka dilalui. Berapa banyak sabar, tolak ansur, memaafkan dan memahami diperlukan untuk sampai ke tahap di mana, selepas semua ini, orang sama yang masih ada di sisi kita adalah insan serupa yang kita pilih sejak dahulu,” ujarnya.
Pada pertemuan itu, Bella tidak ketinggalan memanjatkan doa agar hubungan bersama Ahli Parlimen Muar itu berkekalan sehingga mereka tua.
“Tadi saya pandang Syed dan dalam hati saya cuma mampu berdoa. Semoga satu hari nanti, apabila rambut kami memutih dan langkah kami tidak selaju hari ini, orang yang masih duduk di sebelah saya adalah dia.
“Semoga tangan yang saya pegang hari ini masih tangan sama yang saya pegang puluhan tahun akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Bella berpandangan cinta bukan sekadar mencari hubungan sempurna, sebaliknya kesediaan dua individu untuk terus setia.
“Kerana akhirnya, mungkin cinta bukan tentang mencari hubungan yang sempurna. Tetapi tentang dua orang yang tetap memilih untuk bertahan, belajar, memaafkan dan terus memilih satu sama lain setiap hari,” katanya.
Bella turut merakamkan penghargaan kepada Tun Dr. Mahathir dan Tun Dr. Siti Hasmah kerana sudi berkongsi pengalaman mengenai perjalanan kehidupan mereka bersama.
Terdahulu, majlis pernikahan Bella dan Syed Saddiq bakal berlangsung di Menara Merdeka 118 pada 1 Oktober ini. – HIBGLAM

