‘Pertama kali jumpa Aliff, ada ‘chemistry’ yang baik antara kami’

IMPIAN usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri untuk bertemu personaliti media sosial yang menjadi inspirasinya dalam dunia keusahawanan, Pinn Yang, akhirnya tercapai.

Lebih bermakna, pertemuan tersebut berlaku secara tidak dirancang sekali gus memberi peluang kepada mereka berkongsi pandangan dan pengalaman dalam bidang perniagaan.

“Saya memang sudah lama teringin bertemu Pinn Yang. Apabila pertemuan ini berlaku secara tidak sengaja, saya sangat teruja kerana kami dapat berkongsi pandangan dan pengalaman dalam dunia perniagaan.

Pada masa sama, saya turut menerima tawaran daripada pihak Pinn Yang untuk bersama-sama menjayakan Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (KHPM) 2026 yang julung kali berlangsung di Pulau Pinang,” katanya.

Pinn Yang merupakan personaliti media sosial yang dikenali khususnya dalam platform TikTok menerusi perkongsian berkaitan dunia perniagaan dan kandungan digital.

Pertemuan tersebut turut membuka ruang kepada kedua-dua usahawan berkenaan bertukar pandangan mengenai strategi perniagaan, pemasaran digital dan penghasilan kandungan media sosial.

Sementara itu, Pinn Yang menyifatkan pertemuan pertamanya dengan Aliff sebagai pengalaman positif selain mengakui wujud keserasian antara mereka.

Ketika pertama kali bertemu Datuk Seri Aliff Syukri, saya dapat merasakan ‘chemistry’ yang baik antara kami.

“Saya sangat kagum dengan personalitinya dalam bidang perniagaan selain kandungan yang dihasilkan dalam media sosial.

“Banyak perkara yang kami kongsikan dan bincangkan bersama terutama pengalaman dalam dunia perniagaan serta cara media sosial boleh dimanfaatkan untuk membina jenama,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Aliff dan Pinn Yang bakal berkongsi pentas pada KHPM 2026 yang berlangsung selama dua hari di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 26 dan 27 September ini.

Karnival tersebut bakal menghimpunkan pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS), usahawan, persatuan industri serta pemain perniagaan dari seluruh negara.

Pelbagai pengisian disediakan termasuk perbincangan panel, sesi pembentangan perniagaan, perkongsian ilmu dan peluang membina jaringan perniagaan.

KHPM 2026 dianjurkan Monie, sebuah jenama di bawah Foodie Media Berhad bersama Spire Digital dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Selain pengisian keusahawanan, karnival berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan barisan artis popular seperti Ella, Ara Johari, Shasha Rizal, Wany Hasrita, Nabila Razali dan Nuha Baharin.

Pertemuan Aliff dan Pinn Yang dijangka menjadi antara segmen yang mencuri perhatian pengunjung terutama dalam kalangan usahawan serta pencipta kandungan digital. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok