‘Jangan sekadar kejar high note, penyanyi Borneo perlu ada DNA sendiri’

MENJADI juri tetap program realiti Borneo Rising, penyanyi Marsha Milan tidak menafikan wujud kecenderungan dalam kalangan peserta dari Sabah dan Sarawak menampilkan corak vokal hampir serupa sehingga identiti serta karakter tersendiri sukar dibezakan.

Ujar Marsha atau nama sebenarnya Marsha Milan Londoh, 40, kemampuan vokal semata-mata belum memadai sekiranya seseorang penyanyi gagal memahami lirik serta menzahirkan karakter sendiri menerusi lagu dipersembahkan.

“Saya sebenarnya setuju sebab sebagai artis, kita kena memahami lirik supaya karakter atau DNA sendiri dapat keluar. Jangan kejar nada tinggi sahaja.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mungkin juga lagu dipilih terlalu dominan atau mempunyai aura sangat kuat sehingga peserta tanpa sedar terikut-ikut dengan gaya penyanyi asal.

“Insya-Allah, akan ada sedikit pembaharuan kerana saya sendiri sudah mencabar beberapa peserta untuk memberikan sesuatu berbeza daripada zon selesa mereka,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah pelantun lagu Cinta itu, selain aspek vokal, peserta perlu memperkukuh penguasaan pentas kerana kelebihan pada nada tinggi sudah dimiliki ramai penyanyi dalam industri muzik ketika ini.

“Kita bukan mahu jumlah atau kuantiti besar, sebaliknya kita mahu kualiti. Jadi, saya berharap dengan adanya Borneo Rising, lebih ramai penyanyi dari Borneo dapat mewarnai industri muzik.

“Kena lebih kepada persembahan pentas kerana penyanyi sedia ada pun sudah cukup bagus. Ramai mempunyai kemampuan vokal serta boleh menyanyikan nada tinggi.

“Kita mahu kelainan. Sebab itu saya rasa betul mengenai karakter nyanyian mereka. Ada beberapa peserta mempunyai tona suara hampir sama, jadi kita mahu melihat sesuatu lebih tersendiri daripada mereka,” ujarnya pada sidang media pelancaran video muzik Cinta Di Akhir Garisan 2.0, di sini, semalam.

Marsha juga mengakui cabaran terbesar buat anak seni dari Borneo adalah keberanian meninggalkan zon selesa untuk meneroka pasaran lebih luas, termasuk berhijrah ke Semenanjung demi mengembangkan kerjaya.

“Saya rasa sebagai seorang anak Borneo, perkara paling sukar ialah apabila kita perlu merantau dan keluar daripada zon selesa.

“Benda itu mungkin paling berat kerana saya sendiri mempunyai kawan-kawan terasa perkara ini membebankan apabila perlu berjauhan.

“Jadi, saya berharap sesiapa sahaja mahu masuk dalam industri, terutama dari Borneo, kena berani mengambil cabaran untuk terus bersinar bukan sahaja di tempat sendiri, tetapi juga di luar,” jelasnya.

Sudah memasuki minggu ketiga saingan Borneo Rising, program berkenaan turut mencetuskan perbincangan mengenai identiti vokal peserta apabila sebahagian penonton berpendapat terdapat suara kedengaran seakan-akan ‘template’, khususnya menerusi kecenderungan mengejar nada tinggi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok