Babak dukung Hannah Delisha, Meerqeen profesional ikut skip

MELAKONKAN babak dukung dengan aktres Hannah Delisha, pelakon Meerqeen menjelaskan perkara tersebut dilakukan atas dasar profesionalisme dan tuntutan skrip.

Malah, Meerqeen atau nama asalnya Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, 25, tindakan tersebut dibuat selepas mendapat persetujuan bersama pengarah serta aktres terbabit tanpa mempunyai sebarang niat melampaui batas.

“Itu permintaan skrip dan juga pengarah. Secara logiknya kalau nak dibahas, saya rasa kalau isteri saya yang betul-betul pun saya akan buat benda sama juga.

“Itu antara persetujuan masing-masing dengan pengarah dan Hannah. Saya rasa lakonan semuanya tentang logik.

“Kami buat babak itu sebab saya memikirkan kehendak skrip itu yang memerlukan interaksi sebegitu,” katanya kepada Kosmo! Online semasa tayangan perdana Viu Original, The Hidden Hand (Dia Perempuan Sialan) di sini, semalam.

Ditanya sama ada sempat meminta izin daripada suami Hannah sebelum melakonkan babak intim berkenaan, Meerqeen menegaskan keutamaan diberikan kepada persetujuan rakan gandingannya di set penggambaran.

Tak ada (tanya izin suami Hannah) tapi saya okey kalau Hannah okey. Maksudnya, itu sebahagian daripada kerja.

“Saya tak cakap apa saya buat itu benda yang betul yapi macam saya cakap itu persetujuan kedua-dua pihak.

“Saya tanya Hannah adakah okey untuk melakukannya, selepas itu dia kata okey,” katanya lagi.

Tambah pelakon drama Melur Untuk Firdaus itu, bidang lakonan menuntut ketabahan dalam menghidupkan watak.

“Lakonan bukan mengenai selesa atau tak, itu situasi kehidupan sebenar juga. Saya tak nak buat apa-apa salah faham.

“Jadi itu atas dasar budi bicara saya untuk melakukan babak seperti itu dan sebab itu saya beritahu Kak Ain (pengarah) kalau boleh tak mahu buat berkali-kali,” jelasnya.

Dalam siri The Hidden Hand (Dia Perempuan Sialan), Meerqeen memegang watak sebagai Syawal iaitu suami kepada Nerina lakonan Hannah.

Siri arahan Nur Ain Sharif itu menggabungkan elemen seram supernatural, thriller dan cerita rakyat Melayu dengan
kisah dendam yang mendebarkan.

Berdasarkan idea asal Erma Fatima, The Hidden Hand (Dia Perempuan Sialan) dibintangi Meerqeen, Caitlin Halderman dan Hannah Delisha, bersama Datin Sri Umie Aida, Nadia Aqilah, Farah Ahmad dan Amerul Affendi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok