INGIN sama-sama mengumpul pahala, pelakon Nora Danish menitipkan pesanan kepada wanita agar memperbanyakkan istighfar dan bersedekah.
Nora atau nama lengkapnya Nora Mohd. Danish Hanif, 43, berkata, berbanding bercerita perihal orang lain, amalan baik dapat dijadikan bekalan pada hari pengadilan kelak.
“Untuk wanita terutamanya, nabi berpesan, kita perlu perbanyakkan istighfar dan bersedekah supaya tidak muflis akhirat kerana dah menjadi kebiasaan kita suka ‘membawang’.
Dan, apabila bersedekah, niatkan ‘Ya Allah sedekah ini aku khususkan kepada mereka yang aku zalimi, mereka yang berhak ke atas diriku’. Kalau kita nak minta maaf setiap pada yang kita umpat memang tak logik.
“Terutama mereka yang kita tak pernah berjumpa pun. Jadi kita amalkan sedekah ini dan sentiasa bertaubat,” katanya dalam ruangan komen di laman sosial.
Perkongsian ibu kepada anak dua itu dimuat naik semula pengarah dan penerbit Radius One, Shahrulezad Mohameddin, sekali gus mengundang respons positif pengikutnya.
“Terima kasih Nora atas pesanan dan peringatan buat kaum hawa ini,” kata pengguna Instagram.
Ya, saya amalkan ini. Takut di akhirat orang ambil pahala kita. Habis pahala, dosa dia pula kita tanggung,” tulis seorang netizen.
Sejak berhijrah Julai tahun lalu, Nora kerap memuat naik hantaran kerohanian atau berkaitan amalan baik yang dikatakan sebagai antara usaha menambahkan ilmu.
Begitupun, akuinya tujuan berbuat demikian bukan untuk memperlihatkan dirinya sebagai contoh sebaliknya hanya mahu istiqamah menjadi muslimah lebih baik. – HIBGLAM