‘Tidur atas tilam nipis, makan nasi hanya berlaukkan kentang, kicap’

SAYA mengaku semasa susah dulu saya sangat marah.”

Demikian kata pelawak terkenal Singapura, Gurmit Singh yang mengakui pernah dihimpit rasa kesal dilahirkan dalam keluarga kurang berkemampuan.

Kongsi Gurmit atau nama lengkapnya Gurmit Singh Virk Chainchal Singh, 60, dia pernah tidur beralasakan tilam nipis di rumah pangsapuri di Singapura selain hanya mengunjungi restoran makanan segera bersama keluarga setahun sekali.

“Saya membesar dalam sebuah keluarga yang kurang berkemampuan dan tinggal di rumah flat yang hanya ada dua bilik.

Saya tidur di ruang tamu atas tilam nipis dan hanya makan nasi dengan kentang bersama kicap.

“Setahun sekali kami dapat makan di restoran makanan segera setiap kali perayaan Deepavali, ketika itu barulah kami rasa senang,” katanya dalam sebuah temu bual.

Menurut pelakon yang popular menerusi watak Phua Chu Kang itu lagi, dia pernah menabung 40 sen selama seminggu semata-mata mahu keluar bersama rakan-rakannya.

“Selepas waktu sekolah kawan akan ajak saya keluar makan di restoran makanan segera tetapi saya tiada duit sebab dah guna 40 sen semasa waktu rehat.

Jadi, saya selalu beri alasan kepada kawan-kawan. Saya pernah tak gunakan 40 sen untuk kumpul sehingga hari Jumaat.

“Bila tiba hari Jumaat, saya akan pergi ke restoran makanan segera bersama rakan-rakan saya,” jelasnya lagi.

Apabila sudah berjaya, Gurmit akan singgah di mana-mana restoran makanan segera untuk membeli makanan bagi mengingati kehidupan lamanya yang serba susah.

“Sampai sekarang bila pergi negara lain, saya akan cari restoran makanan segera untuk beli sandwic Fillet-O-Fish.

“Saya akan cari satu tempat dan berdoa ‘Terima kasih Tuhan, sekarang saya boleh makan sandwic Fillet-O-Fish bila-bila masa serta tak akan berlapar’.”

Rata-rata peminat kagum dengan semangat Gurmit dan menjadikan kisahnya sebagai inspirasi dalam hidup mereka.

“Gurmit, saya teruja dengan apa yang awak capai sekarang. Kehidupan kanak-kanak yang sangat mencabar,” kata peminat.

“Kisah yang memberi inspirasi. Selalu ingat apabila kalian kurang berkemampuan, ada lagi orang yang lebih teruk,” jelas pengikut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok