Bukan berhenti berduka, saya perlu teruskan hidup – Zizie Izette 

PELAKON Zizie Izette meluahkan rasa terkilan apabila masih ada segelintir pihak mempertikaikan tempoh kesedihannya selepas pemergian suami, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Ujar Zizie atau nama sebenarnya Zizie Izette Abdul Samad, 48, setiap individu mempunyai cara tersendiri dalam melalui fasa kehilangan dan hanya dirinya memahami perjalanan panjang untuk bangkit semula selepas episod itu.

Bila orang kata, ‘Kejapnya dia sedih,’ saya hanya mampu tersenyum. Hampir setahun mungkin kelihatan singkat dari luar, tetapi hanya saya tahu betapa panjangnya sesetengah hari saya lalui.

“Bukan mudah untuk saya bangun semula dan kembali berasa seperti diri sendiri. Semua itu memerlukan keberanian yang besar,” luahnya dalam Threads.

Tambah Zizie, senyuman serta penampilannya selepas kembali menjalani kehidupan seperti biasa bukan bermakna kesedihan terhadap pemergian suami sudah lenyap.

Melihat saya tersenyum bukan bermakna saya sudah berhenti berduka. Cuma saya memilih untuk tidak berhenti meneruskan kehidupan.

“Duka dan bahagia boleh wujud dalam hati sama. Saya tetap merindui dan bersedih, tetapi pada masa sama saya perlu terus melangkah demi kehidupan serta anak-anak,” jelasnya.

Perkongsian Zizie turut mendapat perhatian rakan artis dan netizen, malah ramai tampil menitipkan kata-kata semangat supaya ibu kepada lima cahaya mata itu terus kuat menjalani kehidupan.

Rindu akan tetap ada. Sedih juga akan ada. Namun, hidup mesti diteruskan. Orang sudah pergi, manakala kita masih hidup perlu terus menempuh cabaran.

“Orang lain tidak akan faham kerana mereka tidak menjalani kehidupan kita dan mereka bukan berada di tempat kita. Terus kuat, sayang,” tulis penyanyi Nourul Depp

“Teruskan langkah, Zizie. Demi anak-anak, abaikan mulut orang. Jangan pedulikan mereka kerana mereka tidak melalui apa kita lalui. Semoga terus sukses bersama dua anak comel,” komen netizen.

Untuk rekod, Zizie mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham Bung Moktar pada 2009.

Hasil perkahwinan tersebut, pasangan berkenaan dikurniakan tiga cahaya mata selain mempunyai dua anak angkat.

Pada 5 Disember lalu, Allahyarham Bung Moktar, bekas Ahli Parlimen Kinabatangan, menghembuskan nafas terakhir akibat kegagalan buah pinggang serta jangkitan kuman pada paru-paru di sebuah hospital di Kota Kinabalu, Sabah. –

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok