BAGAI berdepan hukuman mati, bintang drama bersiri Baywatch, Pamela Anderson mengakui khabar diungkapkan doktor sebaik didiagnosis menghidap hepatitis C membuatkannya tergamam.
Walau perkara tersebut berlaku pada akhir 1990-an, butiran percakapan pakar perubatan itu mengenai dirinya yang berkemungkinan hanya mempunyai 10 tahun untuk hidup masih diingati hingga kini.
Anderson, 59, mendedahkan perkara tersebut ketika berucap sebagai tetamu khas pada acara 2026 amfAR Gala Venezia di Venice, Itali, minggu lalu.
Itulah yang dikatakan doktor kepada saya, kemungkinan saya hanya mempunyai sekitar 10 tahun untuk hidup,” katanya.
Namun, ketakutan terbesar Anderson ketika itu bukan kematian, sebaliknya memikirkan nasib dua anaknya, Brandon Thomas dan Dylan Jagger yang masih kecil.
Bukan ketakutan akan kematian, tetapi ketakutan tentang apa yang mungkin terjadi kepada anak-anak saya yang masih kecil,” ujarnya.
Anderson sebelum ini mendedahkan dirinya dijangkiti hepatitis C ketika masih berkahwin dengan bekas suaminya juga anggota band rock Mötley Crüe, Tommy Lee selepas mereka dipercayai menggunakan jarum tatu yang sama.
Pasangan itu berkahwin pada 1995 sebelum bercerai tiga tahun kemudian, manakala Anderson akhirnya disahkan bebas daripada penyakit berkenaan pada 2015 selepas melalui rawatan yang menelan hampir semua simpanannya.
Saya terpaksa mengeluarkan semua wang yang saya ada dalam akaun bank untuk menjalani rawatan,” katanya sambil mengakui pengalaman tersebut meninggalkan kesan emosi walaupun sudah bertahun-tahun sembuh. – HIBGLAM
