TIDAK perlu bersusah payah, pelakon Fatiya Latiff menyifatkan kehidupan individu daripada keluarga berada kelihatan lebih mudah kerana mereka mempunyai sokongan serta kemudahan sejak kecil.
Ujar Fatiya atau nama sebenarnya Nur Fathia Abdul Latiff, 38, golongan berkenaan lazimnya memiliki akses lebih luas terhadap pendidikan, pekerjaan dan jaringan kenalan, berbeza dengan mereka terpaksa membina kehidupan dari bawah.
“Mereka yang dilahirkan dalam keluarga berada memang seronok. Buka mata sahaja sudah ada pembantu, malah urusan belajar pun ditanggung ibu bapa.
“Selepas tamat kolej, kalau tidak habis belajar sekalipun masih ada peluang untuk menyambung pengajian atau mendapatkan pekerjaan kerana mereka mempunyai ‘connection’ luas,” luahnya dalam Threads.
Tambah bintang drama Ariana Rose itu, keadaan berbeza bagi golongan perlu membina kehidupan sendiri kerana setiap peluang perlu dicari tanpa banyak kemudahan tersedia.
“Kita pula terumbang-ambing mencari pekerjaan sambil memikirkan masa depan. Semua perkara perlu difikirkan sendiri.
“Ada masa, hidup sekadar kais pagi makan pagi,” ujarnya.
Luahan Fatiya itu kemudian mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen apabila ada menyifatkan latar kehidupan berbeza tidak semestinya menentukan kekuatan seseorang kerana setiap individu tetap berdepan ujian tersendiri.
“Tidak mengapa. Mereka mungkin tidak melalui kesusahan sama seperti kita, jadi cabaran dalam kehidupan mereka juga mungkin berbeza.
“Alhamdulillah, memang kita nampak mereka gembira dan hidup senang. Tetapi apabila perkara buruk berlaku kepada mereka, sangat sukar untuk menguruskan semuanya sendiri tanpa bantuan pembantu.
“Setiap orang ada ujian masing-masing. Hidup tidak mudah dan tidak berjalan lurus untuk sesiapa pun,” antara komen netizen. – HIBGLAM.

