Tiada saingan, seperti sudah tahu siapa juara GV11

Lima kali mendapat tempat pertama sudah cukup membuktikan betapa hebat penyanyi Liza Aziz, 62, dalam mengejar gelaran juara Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11).

Minggu lalu Liza sekali lagi berjaya memukau barisan juri dan penonton menerusi persembahan penuh bertenaga membawakan lagu Damelo nyanyian asal kumpulan Dolla sehingga melayakkan dia mendapat markah tertinggi.

Ketua juri, Datuk Ramli MS memuji Liza kerana mampu menghafal lirik lagu Damelo yang sangat panjang ditambah pula terdapat lirik bahasa Sepanyol. Malah, kemampuannya membawakan lagu yang dinyanyikan empat orang turut mendapat pujian.

Menerusi tinjauan dalam media sosial, rata-rata netizen berpendapat anak kepada seniwati Normadiah dan seniman Aziz Jaafar itu terlalu hebat untuk berada dalam kelompok perserta GV11 tahun ini.

Malah, rata-rata mereka meramalkan Liza bakal bergelar juara dan dia seolah-olah tiada persaingan dalam musim kali ini.

“Terimalah hakikat Liza terlalu hebat untuk bersaing dengan peserta-peserta lain. Peserta lain tidak setanding dengannya. Sepatutnya Liza masuk musim terdahulu bersaing dengan Jaclyn Victor, Shila Amzah dan Liza Hanim,” komen netizen.

Ada juga netizen yang mula meluahkan rasa bosan untuk terus menonton GV11 kerana sudah mampu meneka siapa peserta yang akan diangkat sebagai juara.

“Tahun ini GV entah apa-apa. Juara dari awal seolah-olah dah tahu. Yang tak patut keluar, dikeluarkan. Yang menyanyi syok sendiri dikekalkan. Entahlah, dah tak tengok GV selepas Yazid tersingkir,” komen netizen.

Minggu ini Liza akan menyampaikan lagu ‘berhantu’, Masing Masing daripada Ernie Zakri dan dia dijangka akan memberikan persembahan yang hebat sekali lagi.

Antara peserta yang masih berada dalam GV11 bagi merebut gelaran juara ialah Ning Baizura, Dadali Dyrga, Sheila Abdul, Zehra Zamri, Fairuz Selamat, Arrora Salwa, The Lima dan Ronnie Hussein. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok