PENGALAMAN pertama kali menyampaikan ceramah di hadapan khalayak yang majoritinya terdiri daripada masyarakat India memberi perspektif baharu buat pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Haris Mohd. Ismail atau PU Riz.
PU Riz berkata, pengalaman ketika menghadiri sebuah program di Madrasah India, Kampung Pandan baru-baru ini cukup berbeza memandangkan kebanyakan program ceramah yang dihadirinya sebelum ini didominasi masyarakat Melayu.
Biasanya ‘crowd’ yang dengar ceramah saya orang Melayu. Tapi buat kali pertama yang semuanya, saya ulang, semuanya bangsa India,” katanya.
Memuatkan artikel berkaitan…
Menurut suami kepada selebriti dan usahawan, Neelofa itu, apa yang lebih mencuri perhatiannya adalah kesungguhan masyarakat yang hadir menimba ilmu, selain usaha dilakukan dalam memperkukuh pendidikan serta meningkatkan taraf kehidupan khususnya golongan berpendapatan rendah (B40).
Dalam masa sama, PU Riz turut menzahirkan rasa kagum terhadap usaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang disifatkannya konsisten membantu masyarakat menerusi pelbagai inisiatif termasuk geran bagi menyokong program kemasyarakatan, pendidikan, kemahiran serta peluang pekerjaan.
Katanya, usaha sedemikian penting dalam memastikan setiap lapisan masyarakat mempunyai peluang sama rata untuk mendapatkan pendidikan, meningkatkan kemahiran dan seterusnya membina kehidupan lebih baik tanpa mengira latar belakang kaum.
Difahamkan, bantuan disalurkan KESUMA tidak hanya tertumpu kepada masyarakat India, sebaliknya merangkumi komuniti lain berdasarkan keperluan serta bentuk program dilaksanakan.
Sebelum ini, kementerian berkenaan turut menyalurkan geran kepada syarikat sama bagi melaksanakan program melibatkan ceramah dan peluang pekerjaan untuk golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang disertai sekitar 60 hingga 70 peserta.
Melihat impak inisiatif tersebut, PU Riz berharap lebih banyak usaha seumpama itu dapat diperluaskan agar golongan memerlukan, khususnya B40, mendapat akses kepada pendidikan, kemahiran dan peluang pekerjaan yang mampu mengubah kehidupan mereka.
Kita doakan semua, tidak kira bangsa, khususnya di negara ini memperoleh satu kekuatan ilmu yang tertinggi, insya-Allah,” katanya. – HIBGLAM

