MASIH belum memberi pengesahan, pelawak dan pelakon Along Cham tiba di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya apabila dikatakan mahu memfailkan dan mengesahkan lafaz cerai taklik terhadap isterinya, Afreena Suhaimi, hari ini.
Along, 42, yang kelihatan tenang tiba di pekarangan mahkamah ditemani ibunya berharap segala urusan dipermudahkan.
Bagi saya jumpa pihak yang sepatutnya dahulu. Kemudian saya akan beri komen.
“Saya dengan dengan ‘syurga’ (ibunya). Lewat sikit tadi sebab bawa ibu pergi sarapan dahulu.
“Hari ini Alhamdulillah saya sihat,” katanya kepada HibGlam.
Hari ini, HibGlam melaporkan Along bakal memfailkan dan membuat pengesahan lafaz cerai secara taklik terhadap Afreena di Mahkamah Syariah Putrajaya hari ini.
Along dan Afreena, 32, mendirikan rumah tangga pada 4 April 2024 selepas lapan tahun menduda.
Sebelum ini, Along pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas Bintang Akademi Fantasia musim keempat (AF4) iaitu Zila Seeron, 35, pada 23 Januari 2010.
Bagaimanapun rumah tangga yang dibina tidak bertahan lama apabila mereka bercerai pada 13 Ogos 2016 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak bernama Ahmad Daniel Muhammad Nizamudin.
Semalam, pelakon filem Tiada Tajuk itu membuat sujud syukur di kandang tertuduh selepas Mahkamah Sesyen Sepang di sini melepaskannya tanpa membebaskan (DNAA) daripada satu pertuduhan berkaitan pemilikan dadah disyaki kanabis.
Dalam perkembangan berkaitan, Along turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan lain melibatkan pemilikan dan penggunaan dadah.
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 sementara menunggu perbicaraan. – HIBGLAM