‘Seronok fitnah orang, bila dibalas terus jadi mangsa’

PENYANYI Syasya Rizal menyelar sikap segelintir pengguna media sosial yang gemar melemparkan fitnah dan komen berbaur kebencian, namun pantas memainkan peranan sebagai mangsa apabila tindakan mereka dibalas.

Ujar Syasya atau nama sebenarnya Norsyasya Afiqah Shahrizal, 25, sikap sedemikian memperlihatkan kelakuan berat sebelah apabila individu terbabit hanya berani menyerang orang lain, tetapi tidak mampu menerima teguran atau tindak balas terhadap perbuatan sendiri.

“Sesetengah pembuli siber nampaknya tidak boleh menerima apabila mereka sendiri merasai layanan sama seperti diberikan kepada orang lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Seronok menyebarkan fitnah dan menghina orang, tetapi apabila individu diserang membalas semula, terus memainkan watak mangsa?,” tulisnya dalam Threads.

Tambah pelantun lagu Different itu, pengguna media sosial seharusnya lebih bijak menggunakan platform berkenaan dan tidak menjadikan kehidupan orang lain sebagai ruang untuk melontarkan kebencian sesuka hati.

Tegasnya, setiap individu berhak mempunyai pandangan tersendiri, namun kebebasan bersuara tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menyebarkan pembohongan atau meninggalkan komen berniat jahat.

“Tidak semua perkara perlu diberikan pendapat. Kita boleh tidak menyukai seseorang tanpa perlu menyebarkan pembohongan atau meninggalkan komen penuh kebencian, lebih-lebih lagi apabila kehidupan mereka langsung tiada kaitan dengan kita.

“Kepada saudara seIslam, jangan terlalu sibuk mengadili kehidupan orang lain sehingga terlupa setiap tutur kata sendiri juga akan diadili kelak,” ujarnya.

Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen, dengan sebahagian pengguna media sosial bersetuju bahawa budaya mengecam dan menyebarkan fitnah perlu dihentikan, terutama apabila melibatkan kehidupan peribadi seseorang.

Malah, ada juga berpendapat teguran sepatutnya disampaikan secara berhemah dan berlandaskan fakta, bukannya melalui penghinaan atau serangan peribadi. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok