LAMA menyimpan niat, pelakon Azhan Rani menunaikan hasrat menghadiahkan sebuah kereta JeTour Dashing Special Edition kepada adik bongsunya, Sahrul Nizam Abdul Rani sebagai tanda terima kasih menjaga ibu mereka.
Azhan atau nama sebenarnya Azhan Abdul Rani, 50, berkata, Sahrul Nizam atau mesra disapa Ijam dianggap sebagai ‘hero sebenar’ dalam keluarga kerana banyak menguruskan serta meluangkan masa bersama ibu mereka.
“Sebenarnya sudah lama saya simpan niat nak hadiahkan kenderaan utiliti sukan (SUV) ini buat adik saya, Ijam. Dia adik bongsu dan tiga tahun lebih muda dari saya.
“Dia adalah hero sebenar dalam keluarga, banyak menjaga emak. Hanya saya dan dia sahaja yang mempunyai lebih banyak masa kerana rumah kami dekat.
“Adik-beradik lain pun bagus juga, tetapi mungkin kerana komitmen masing-masing, ada yang sudah berumah tangga dan tinggal jauh. Jadi, Ijam yang banyak menjaga arwah bapa serta menguruskan emak sampai sekarang,” katanya.
Menerusi perkongsian di Instagram sebuah syarikat jualan kenderaan, pihak berkaitan turut berkongsi video dua bersaudara itu hadir di premis pameran kenderaan berkenaan bersama ibu mereka, Salmah Budin.
Menurut pelakon drama Bulan Henti Bicara itu, hajat menghadiahkan kereta semakin kuat selepas dia membawa Ijam mengambil kenderaan miliknya di sebuah premis.
Katanya, ketika itu Ijam dilihat begitu berminat dengan model Dashing, malah banyak bertanyakan mengenai kenderaan berkenaan.
“Saya berniat dan tekad untuk hadiahkannya kereta sebab masa saya ambil kereta T2 di sebuah pusat kenderaan, saya bawa dia sekali.
“Dia yang banyak bertanya tentang Dashing ini. Saya perhatikan sahaja dari jauh. Saya kata, kenapa tidak kalau ada duit lebih nanti saya belikan dia sesuatu,” ujarnya.
Tambah Azhan, pemberian tersebut bukan sekadar hadiah, sebaliknya diharapkan dapat memudahkan urusan menjaga ibu mereka.
“Saya harap kereta ini dapat memudahkan lagi untuknya menguruskan emak dan bawa emak ke mana-mana.
“Kereta ini mempunyai ruang yang luas untuk memasukkan kerusi roda serta barang-barang emak. Jadi, saya fikir ia lebih praktikal untuk kegunaan mereka.
“Saya ambil Dashing Special Edition berwarna hitam ini dan saya hadiahkan istimewa buat Ijam. Bagi saya, ini cara menghargai segala pengorbanan dan masa yang dia curahkan untuk menjaga emak serta keluarga,” katanya.
Menerusi semakan, harga model tersebut adalah bermula sekitar RM117,00. – HIBGLAM.

