Saya dah tiada apa-apa rasa, lupakan semua – Zizi Kirana

PENYANYI dan aktivis kemanusiaan, Zizi Kirana sudah tidak lagi berhubung dengan bekas suaminya, Yusuf Bahrin sejak bercerai April lalu.

Walau bagaimanapun, Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, 41, mendedahkan bahawa dia masih lagi berhubung dan menjaga hubungan baik dengan keluarga mentuanya.

Ujar pelantun lagu Eh! itu, dia menganggap tiada sebab untuk dirinya memutuskan silaturahim bersama ibu dan bapa Yusuf. Malah, keluarga mentuanya itu sering menziarahinya setiap kali masa lapang.

“Saya dan Yusuf memang tak ada berhubung. Saya memang terus ‘cut off’ (putuskan hubungan) tapi dengan keluarga dia — mak, abah, adik ipar dan mak saudara dia semua, alhamdulillah sampai sekarang kami masih berhubung.

“Mak dan abah mentua saya orang yang sangat baik, jadi saya rasa hubungan dan silaturahim itu tak patut saya putuskan. Kadangkala mak sendiri cakap dan berdoa supaya ukhwah kami berkekalan hingga ke jannah.

“Baru-baru ini mereka datang ziarah saya ke rumah, bawa macam-macam makanan seperti asam pedas, kerepek dan kuih.

“Masya-Allah, inilah kebahagiaan. Walaupun nampak macam biasa, tapi ini menyenangkan saya,” katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu Yang Tinggal, di sini, semalam.

Tambah bekas peserta Akademi Fantasia musim ketujuh itu lagi, kehadiran bapa mentua dalam hidupnya juga seakan memberi satu makna memandangkan dia tidak mempunyai hubungan yang rapat dengan bapanya sendiri.

“Saya tak perlu bermusuh, saya ada mak dan abah iaitu orang yang saya sangat hormati. Hubungan saya dengan ayah sendiri tak begitu rapat, jadi bila saya ada abah, kami pergi umrah bersama-sama. Bagi saya itu momen sangat berharga untuk saya simpan sampai bila-bila.

“Walaupun saya dan Yusuf berpisah, tapi Allah beri saya kehadiran mak dan abah. Saya sangat bersyukur dan hubungan itu tak terputus,” jelasnya.

Ditanya bagaimana sekiranya jika dia terserempak dengan bekas suami di mana-mana acara, kata Zizi, dia akan berkelakuan normal seperti biasa.

“Ada saja kami terserempak di majlis atau acara sebab kawan-kawan dia merupakan kawan saya juga. Mereka akan beritahu saya yang Yusuf akan ada juga di acara tersebut, mereka tanya saya okey ke. Saya okey saja.

“Seingat saya mungkin ada sekali atau dua kali terserempak dalam satu majlis yang sama. Saya dah tiada apa-apa rasa, tiada perasaan tak puas hati ke ‘awkward’ ke tiada. Saya dah lupakan semuanya,” ujarnya.

Untuk rekod, Zizi dan Yusuf mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021.

Mereka disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Shah Alam pada 2 April yang lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok